BERITA UTAMA
Amang seksual dipenjara 24 tahun? Lebih serius daripada rogol rupanya - Zaid Ibrahim

Amang seksual dipenjara 24 tahun? Lebih serius daripada rogol rupanya – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tanpa menamakan kes secara spesifik, bekas Menteri Undang-Undang Datuk Mohd Zaid Ibrahim berasa hairan dengan hukuman terhadap seorang pendakwah yang dipenjara 24 tahun atas kesalahan amang seksual baru-baru ini.

Beliau mendakwa hukuman sedemikian wajar diteliti semula apabila ia dilihat lebih berat berbanding kesalahan merogol.

“Saya tidak tahu bahawa tuduhan serangan seksual boleh membawa hukuman penjara selama 24 tahun! Itu lebih serius daripada kesalahan rogol statutori.

“Adakah (keputusan) hakim mahkamah sesyen ini betul? Saya tidak fikir begitu.

“Serangan (amang) seksual seperti menyentuh bahagian yang dilarang. Adakah ia melibatkan sebarang kemasukan (penetration)?

“Mangsa adalah seorang remaja tetapi dia berumur 17 tahun, hampir dewasa. Adakah terdapat persetujuan?

“Tertuduh adalah seorang pendakwah, tetapi hukuman seorang pendakwah agama juga mesti sesuai dan sepadan dengan kesalahan tersebut.

“Dia menghadapi tuduhan atas dua kesalahan dan hukuman dijalankan secara berturut-turut! Ya ampun,” katanya dalam satu kenyataan di laman X pada Sabtu.

Bagi memastikan hukuman bersifat lebih seimbang dan adil, Zaid mendakwa peranan Ketua Hakim Negara sangat diperlukan terutama apabila ia membabitkan situasi seperti ini.

“Itulah sebabnya kita memerlukan Ketua Hakim sekarang lebih dari sebelumnya. Dia boleh mengarahkan semakan semula hukuman. Dia boleh mengawasi kelakuan hakim mahkamah rendah jika ada yang tidak kena.

“Saya tahu bahawa seorang hakim Mahkamah Tinggi juga boleh mengarahkan semakan, tetapi biasanya perkara seperti ini adalah untuk Ketua Hakim campur tangan,” ujarnya.

Pandangan Zaid itu dipercayai merujuk kepada kes membabitkan pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman yang dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat.

Ia selepas dia didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lepas

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *