UNSC: Israel bertindak sewenang-wenangnya akibat kuasa veto - Presiden Maldives

UNSC: Israel bertindak sewenang-wenangnya akibat kuasa veto – Presiden Maldives

NEW DELHI – Maldives semalam menyeru kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), dimansuhkan dengan menyifatkannya sebagai menghalang badan dunia itu daripada mengambil tindakan terhadap Israel.

“Kuasa veto terus melumpuhkan Majlis daripada menghentikan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kuasa veto membenarkan Israel bertindak sewenang-wenangnya, melakukan penjajahan yang kejam dan membahayakan keselamatan serantau.

“Kuasa veto terus membenarkan pembunuhan beramai-ramai orang yang tidak berdosa,” kata Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, pada perbahasan peringkat tinggi di UNSC bertajuk ‘Kepimpinan untuk Keamanan.’

Acara itu dianjurkan oleh Slovenia yang memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan untuk September, ketika pemimpin dunia berhimpun di New York bagi menghadiri mesyuarat tahunan Perhimpunan Agung PBB.

Ini adalah kali pertama seorang Presiden Maldives berucap di UNSC sejak negara itu menyertai PBB 59 tahun lalu.

Muizzu menggunakan peluang itu untuk mengutarakan kebimbangan yang dikongsi oleh majoriti masyarakat dunia.

Struktur UNSC yang dibarisi 15 negara anggota, tidak berubah sejak ia ditubuhkan pada 1946 dengan memberi kuasa veto kepada Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat (AS).

Terdapat peningkatan seruan agar sistem veto itu ditamatkan, malah ia sering dipersalahkan atas kegagalan Majlis dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Ketidakpercayaan global terhadap sistem pelbagai hala terus meningkat, dan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakberkesanan dan kegagalan Majlis untuk bertindak.

“Kita bersidang di sini, hari ini, sementara genosid berlaku di hadapan Majlis Keselamatan yang tidak mahu menegakkan undang-undang antarabangsa dan menghentikannya,” kata Muizzu.

Presiden Maldives itu berkata, perbincangan mengenai reformasi UNSC yang tidak menghasilkan sebarang keputusan selama lebih 15 tahun, perlu dihentikan dan usaha untuk memulakannya harus dilaksanakan semula.

Beliau turut menggesa UNSC menangani implikasi ancaman keselamatan bukan tradisional.

“Seperti yang kita saksikan di Lubnan beberapa hari lalu, teknologi telah berkembang sehingga tahap peranti komunikasi di dalam poket kita boleh diletupkan dari jauh, kini menjadi satu realiti,” katanya.

Beliau merujuk kepada insiden letupan peranti komunikasi yang disyaki dicetuskan oleh Israel, bulan ini, sehingga mengorbankan sekurang-kurang 37 rakyat Lubnan dan mencederakan ribuan yang lain. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *