KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terkejut proses mendapatkan kerakyatan warganegara Malaysia bagi seorang anak angkat keluarga Cina di Manjung, Ipoh hanya mengambil masa dua bulan.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, agak pelik permohonan semula keluarga angkat itu dibuat melalui Pusat Khidmat Parlimen Beruas milik pemimpin DAP dengan kelulusan yang begitu cepat.
“Perkasa ingin bertanya anak angkat ini yang mendapat kerakyatan berasal dari negara mana?
“Dalam masa sama, Perkasa menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan syarat bagi memohon kerakyatan dan adakah ianya memenuhi kriteria sebelum diberikan taraf warganegara?
“Perkasa juga bertanya adakah terdapat layanan istimewa kepada mereka yang memohon kerakyatan di negara ini terutama dari negara China?” soalnya dalam kenyataan kepada media.
Semalam, Harian Metro melaporkan, tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu apabila anak angkat yang dijaga sejak lahir mendapat sijil warganegara yang dikeluarkan oleh JPN.
Lee Nguik Kiew, 55, yang menetap di Kampung Koh, Sitiawan, dilaporkan berkata, dia bersyukur kerana sudah tujuh tahun berulang alik ke pejabat JPN dan mengharapkan anak angkatnya, Ting Shi Er She, 12, memperoleh kerakyatan Malaysia.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, dia menggunakan perkhidmatan ejen dan sudah mengeluarkan banyak wang, namun usaha itu tidak membuahkan hasil.
Irwan Fahmi berkata, bagaimana pula dengan penduduk tempatan terutama di pedalaman Sabah yang tidak berjaya mendapatkan kad pengenalan akibat faktor kemiskinan?
Soal beliau, adakah mereka tidak layak mendapatkan kerakyatan seperti mana pemohon Cina yang mendapatkan kerakyatan dengan cara mudah dan cepat.
“Bagaimana pula dengan program kerakyatan negara Malaysia anjuran sebuah parti politik negara baru-baru ini?
“Perkasa juga ingin bertanya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai status 1.2 juta rakyat China hilang dalam negara ini. Adakah mereka juga dalam senarai mendapatkan kerakyatan Malaysia?,” soalnya lagi.
Beliau berharap, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tampil memberikan penjelasan mengenai syarat serta SOP untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252