KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Petrus Linggi Liman, 29, yang maut akibat terkena tembakan rambang ketika menjalani Eksesais Pasak Bumi di kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song, Sibu, Sarawak pada Isnin.
“Saya menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ini dan sama-sama kita doakan agar keluarga mendiang diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan terberat ini,” kata Mohamed Khaled dalam catatannya di Facebook.
Pada Isnin, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataannya mengesahkan anggota daripada formasi 9 Briged di Sibu itu maut selepas terkena tembakan yang tidak pasti pada pukul 2.45 pagi ketika menjalani latihan di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu anggota berkenaan telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada 4 pagi dan dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada kira-kira 5 pagi.
Bagaimanapun, anggota terbabit telah disahkan meninggal dunia pukul 7.43 pagi hari yang sama di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian itu. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252