IRAN menyelar tindakan Israel menyerang Lubnan dalam siri serangan udaranya di seluruh negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani, pada Isnin turut memberi amaran kepada rejim itu mengenai akibat yang akan ditanggung susulan serangan dilakukan.
Nasser dalam kenyataan lain menerusi satu hantaran di X pada hari sama turut berkata, perbuatan bersekongkol adalah sama buruknya dengan kekejaman itu sendiri.
“Ini kerana, penjenayah bebas dan kekejaman mereka dibiarkan berterusan tanpa henti,” katanya sebagai menyindir beberapa negara Barat berhubung genosid dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin dan tindakan agresifnya yang berbahaya di rantau ini.
Tegasnya, sistem diamalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak mengawal ancaman kepada keamanan dunia itu sebelum segalanya terlambat.
Beliau sebelum itu menerusi kenyataan rasmi pada Sabtu mengecam tindakan rejim Zionis pada Jumaat yang menyerang sebuah bangunan kediaman di Beirut, mengorbankan dan mencederakan penduduk termasuk kanak-kanak.
Ujarnya, perbuatan itu perlu dikecam sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia.
Beliau turut menuntut negara-negara yang menyokong kemananan dan keselamatan antarabangsa untuk memanfaatkan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79 yang berlangsung di New York, untuk mengambil langkah lebih tegas ke atas Israel. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252