BERUAS – Malang tidak berbau. Seorang wanita cedera di kepala selepas dihempap dahan pokok tumbang di Taman Eko Rimba Segari, di sini, malam tadi.
Ketika kejadian, mangsa berusia 29 tahun itu dikatakan sedang berehat di sebuah gazebo.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan dahannya menimpa wanita berkenaan, yang turut merosakkan sebuah kereta berhampiran.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.24 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis bergegas ke lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
“Mangsa dibawa ke hospital oleh sebuah ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kata beliau, anggota bomba kemudian melakukan kerja pemotongan dahan pokok yang menghalang laluan sehingga keadaan selamat.
Operasi membabitkan seramai sembilan orang anggota bomba itu tamat jam 10.35 malam. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252