PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri Kabinet hadir sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.
Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah tiba di Pentas Diraja pada kira-kira jam 8 pagi bagi menyaksikan perarakan serta persembahan sempena sambutan tahun ini.
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datin Dr. Wan Azizah Wan Ismail, diikuti dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing tiba di Dataran Putrajaya pada 7.38 pagi hingga jam 7.55 pagi.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Selain itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Yusof; serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Acara bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” itu juga dihadiri timbalan-timbalan menteri, dif-dif kehormat dan perwakilan asing.
Perarakan dan persembahan tahun ini dijayakan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta 100 haiwan dalam perkhidmatan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252