BERITA UTAMA
Perutusan Khas Tun Dr. Mahathir sempena Ulangtahun UiTM ke-25

Perutusan Khas Tun Dr. Mahathir sempena Ulangtahun UiTM ke-25

PERTAMANYA, saya ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk memberi sedikit ucapan dan pandangan bersempena dengan Ulangtahun Ke-25 Universiti Teknologi Mara atau UiTM.

Sudah suku abad usia UiTM dan ribuan graduan telah dilahirkan dalam tempoh tersebut.

Ada yang berjaya menghadapi cabaran kehidupan, ada yang tercicir, namun begitu, saya yakin graduan kelahiran UiTM termasuk yang tercicir akan tetap bangun, membina keyakinan diri untuk menghadapi aral yang melintang.

Keyakinan ini ada kepada saya kerana UiTM itu sendiri lahir demi anak-anak Melayu dan Bumiputera yang serba kekurangan, terpinggir yang memerlukan sokongan untuk keluar dari kemiskinan dan kesusahan.

Kerana itu, UiTM yang asalnya RIDA dan ITM bukan sekadar sebuah institusi pengajian tinggi, ia simbol satu perjuangan bangsa.

Ia tegak sebagai wadah untuk anak-anak bangsa mencari tapak untuk berdiri dan mencari keyakinan diri, dan kerana UiTM itu satu perjuangan, maka setiap anak bangsa yang diterima sebagai pelajar perlu sedar bahawa mereka mendapat satu keistimewaan yang diiringi dengan satu amanah.

Kerana itu, menjadi satu tanggungjawab untuk setiap pelajar UiTM untuk sedaya mungkin memastikan mereka berjaya di dalam apa jua kursus yang mereka ambil kerana ianya satu amanah, dan tanggungjawab ini tidak terhenti sekadar mendapat ijazah atau apabila berjaya menamatkan kursus yang diambil.

Ia berterusan sehingga ke akhir hayat kerana setiap graduan itu memikul nama UiTM, baik pencapaian mereka semakin harum nama UiTM.

Graduan-graduan UiTM perlu ingat bahawa kelompok yang tidak suka kepada usaha untuk memperkasakan anak Melayu dan Bumiputera sering menghina UiTM.

Penghinaan ini tidak membawa makna jika graduan-graduan UiTM membukti keupayaan dan kesungguhan mereka serta kejayaan mereka.

Alhamdulillah, ramai graduan UiTM telah berjaya membukti keupayaan mereka, malah pencapaian mereka sering mengatasi graduan dari institusi lain.

Hari ini, UiTM menawarkan pelbagai kursus setanding dengan apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

Saya merasa bersyukur kerana keputusan kerajaan pada tahun 1999 untuk menaikkan taraf UiTM kepada sebuah universiti.

UiTM tidak dipersia-siakan oleh anak-anak bangsa, namun, jalan ke hadapan masih berliku dan semakin mencabar. Saya berharap pelajar-pelajar UiTM hari ini dan akan datang tetap cekal dan berani serta berpegang teguh kepada amanah yang diberikan. Selamat Maju Jaya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *