BERITA UTAMA
Ambil iktibar, pedoman kejadian tanah jerlus

Ambil iktibar, pedoman kejadian tanah jerlus

HAIRAN, pelik, tidak munasabah, tidak logik, tak masuk akal adalah antara persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat Malaysia berhubung kejadian tanah jerlus di Masjid India pagi Jumaat lalu.

Persoalan ini juga turut bermain dalam fikiran Pak Dee sejak hari pertama kejadian sampai ke hari ini, hari kelima SAR, tetapi Pak Dee cuba berfikiran positif. Ada hikmah yang Allah SWT nak sampaikan kepada pihak berwajib di Malaysia mengenai kejadian tragis itu.

Pak Dee nak ucapkan syabas atas usaha anggota dari pelbagai agensi yang bertungku lumus mencari mangsa, Vijayaletchumy berusia 48 tahun yang terjatuh dalam lubang tanah jerlus.

Dikatakan, mangsa yang berasal dari Andhra Pradesh, India terjatuh ke lubang sedalam lapan hingga 10 meter, ketika beliau berjalan kaki dari arah Flat Selangor Mansion ke Wisma Yakin, Masjid India.

Kerja atau operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan sehingga petang ini, iaitu masuk hari kelima dari hari kejadian. Bermacam cara dan kaedah dilakukan mereka dalam operasi itu.

Kepada keluarga Vijayaletchumy, banyak-banyak bersabarlah. Bukan sahaja anda, bahkan seluruh rakyat Malaysia pun mengharapkan Vijayaletchumy dijumpai walau dalam keadaan apa sekali pun.

Ini adalah tragedi dan kemalangan. Tiada siapa pun menduga perkara itu boleh berlaku dan ianya terjadi dalam sekelip mata. Usaha menyelamat dimulakan sebaik panggilan kecemasan dibuat dan tidak berhenti sehingga ke hari ini.

Kepada pihak berkenaan, terutama Datuk Bandar Kuala Lumpur, ambillah iktibar dan pedoman dari kejadian yang berlaku. Panggil semua pihak yang terlibat, duduk, berbincang mencari kaedah agar perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Kepada syarikat Indah Water Konsortium (IWK), pertingkat dan kaji semula syarat pembetungan bawah tanah. Biar lebih tersusun dan sistematik. Pergi belajar dengan negara-negara maju dan membangun bagaimana mereka mengendalikan sistem pembetungan di negara mereka.

Kepada DBKL pula, perlu mentranformasikan segala syarat dan peraturan projek-projek pembangunan di ibu kota. Biar tersusun pembinaannya baik bermula dari dalam tanah hingga ke ruang udara.

Kena ingat, populasi manusia di ibu semakin meningkat, lebih lagi bertambahnya pendatang-pendatang asing yang tertumpu di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Sistem paip, pembentungan, longkang dan saluran kumbahan yang lama di bawah tanah perlu dikaji semula. Kalau perlu ditukar, tukarlah kepada sistem yang lebih sistematik.

Puluhan juta rakyat Malaysia melihat, dan ratusan juta pula pelancong luar negara menyaksikan kejadian yang berlaku ini. Ia sedikit sebanyak menimbulkan keresahan untuk mereka datang melancong ke Malaysia apabila melihat kepada keadaan yang berlaku.

Pak Dee bukan mahir sangat bab teknikal dan kejuruteraan ini, tetapi melihat kepada apa yang berlaku seolah seperti ada kesilapan yang berlaku. Itu di masa lampaulah, bukan di masa sekarang.

Tetapi, yang penting, ambillah pengajaran daripada kejadian ini. Rakyat negara India menaruh harapan dan kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia agar dapat menyelesaikan kes yang berlaku ini.

Mereka tidaklah mempersalahkan kita dengan kejadian ini, tetapi kita perlulah muhasabah diri. Cari apa punca perkara seumpama itu boleh berlaku dan bagaimana nak atasinya di kemudian hari. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *