BERITA UTAMA
Tanah Jerlus: Semua berganding bahu guna pelbagai kaedah cari Vijayaletchumy

Tanah Jerlus: Semua berganding bahu guna pelbagai kaedah cari Vijayaletchumy

KUALA LUMPUR – Pelbagai usaha sudah dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Masjid India, di sini termasuk menggunakan botol untuk melihat tempoh sesuatu objek boleh sampai ke lokasi akhir iaitu loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil ujian yang dilakukan pasukan SAR mendapati objek berkenaan mampu sampai ke lokasi berkenaan dalam tempoh empat jam.

“Pelbagai usaha masih diteruskan oleh semua pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam mencari wanita warga India berusia 48 tahun ini.

“Kalau mengikut aliran air, sebanyak 5.3 hingga enam kilometer dari lokasi kejadian tanah jerlus ke loji IWK di Pantai Dalam,” katanya dipetik Harian Metro pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, berdasarkan maklumat, wanita warga India itu berkemungkinan terjatuh di kedalaman 10 meter.

“Macam-macam kita (pasukan SAR) lakukan dalam lurang kumbahan termasuk menggunakan teknologi kamera.

“Pada hari ini juga, Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) hadir untuk melakukan imbasan di lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pencarian pada hari kelima ini membabitkan 100 keanggotaan daripada pelbagai agensi berkuasa.

Razarudin berkata, dengan jumlah kapasiti penggunaan air amat tinggi pada waktu puncak berbanding pada waktu malam turut menyukarkan kerja-kerja pasukan SAR dalam lurang kumbahan.

“Apa yang penting, semua pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Indah Water Konsortium (IWK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Nuklear Malaysia, berganding bahu bersama-sama mencari kaedah dalam melaksanakan operasi SAR ini.

“Kita doakan supaya pencarian dapat dibuat dalam masa singkat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial yang menyatakan kawasan Masjid India tidak selamat.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, seorang wanita Vijayaletchumy, 48, berasal dari Andhra Pradesh, terjatuh dalam lubang tanah jerlus sedalam lapan meter ketika berjalan kaki dari arah Flat Selangor Mansion ke Wisma Yakin, Masjid India. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *