BERITA UTAMA
Penguat kuasa rasuah: Kerajaan perlu tegas, perkenalkan hukuman sebat mandatori

Penguat kuasa rasuah: Kerajaan perlu tegas, perkenalkan hukuman sebat mandatori

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperkenalkan hukuman sebatan mandatori kepada penguat kuasa yang menerima suapan terutama dalam isu kemasukan warga asing ke negara ini secara tidak sah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, hukuman lebih keras dan setimpal akan meningkatkan lagi integriti dalam kalangan penguat kuasa selain memastikan mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

“Penguat kuasa yang didapati bersalah menerima suapan atau terbabit dalam kegiatan rasuah sehingga membolehkan kemasukan warga asing secara tidak sah harus dikenakan hukuman sebatan sebagai hukuman tambahan selain daripada hukuman penjara atau denda sedia ada.

“Hukuman sebatan mandatori bertujuan menjadi satu pencegahan kuat bagi penguat kuasa yang berfikir untuk terbabit dalam aktiviti rasuah kerana ia bersifat fizikal dan berat sekali gus menghalang niat individu itu daripada mengambil risiko menerima suapan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai pembabitan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki bersekongkol dengan sindiket bagi membawa masuk warga asing ke negara ini tanpa melalui prosedur ditetapkan sebaliknya menggunakan kaunter khas.

Mengulas lanjut, Jais berkata, warga asing yang memasuki negara ini tanpa prosedur sah juga wajar dikenakan hukuman sebatan untuk menunjukkan Malaysia tegas dalam menjaga kedaulatannya.

“Ini juga boleh menjadi pencegahan kepada warga asing lain yang berniat untuk memasuki negara secara tidak sah.

“Langkah ini juga akan menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa, Malaysia komited dalam memerangi rasuah dan menjaga kedaulatan negaranya daripada ancaman luaran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hukuman sebatan mandatori terbabit perlu dilaksanakan dengan melalui proses undang-undang yang adil dan telus.

“Ini bermakna setiap kes perlu disiasat dengan teliti dan hukuman hanya dijatuhkan apabila bukti kukuh telah dibuktikan di mahkamah.

“Dengan memperkenalkan hukuman sebatan mandatori, kerajaan menghantar mesej yang jelas dan tegas kepada semua penjawat awam, rasuah tidak akan ditoleransi dalam apa jua keadaan sekali gus akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan.

“Rakyat akan melihat kerajaan serius dalam menangani rasuah dan menjaga keselamatan negara sekali gus akan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, pegawai yang bertugas di lokasi strategik seperti pintu masuk negara juga perlu menjalani sistem pertukaran untuk beberapa tempoh ditetapkan.

“Pegawai JIM yang bertugas di pintu masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu lebih kerap ditukar, mungkin tiga atau enam bulan sekali.

“Mereka tidak boleh ditempatkan di sesuatu lokasi hingga tiga tahun sekali seperti titah Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada alasan kerana semua penjawat awam sudah berikrar untuk sedia berkhidmat di mana saja…tidak boleh ikut arahan, sila keluar baris (berhenti) kerana ramai lagi anak muda di luar sana yang bersedia masuk baris,” katanya.

Menurutnya, setiap operasi pendatang asing tanpa izin (Pati) dilaksanakan JIM juga perlu membabitkan agensi lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selasa lalu media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menahan 12 individu termasuk lima penguat kuasa yang bertugas di KLIA Terminal 2 kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut prosedur dan pemeriksaan ditetapkan.

Semua mereka ditahan dalam Op Pump yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan selepas disyaki membawa masuk warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal menerusi modus operandi ‘counter setting’. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *