PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memanggil Ahli Parlimen bukan PN, yang kononnya memberikan akuan berkanun (SD) menyokongnya sebagai perdana menteri, agar membuat ‘pengakuan lisan terbuka’.
Beliau mengulas laporan Muhyiddin telah menyerahkan beberapa dokumen termasuk 115 SD kepada polis semalam selepas disoal siasat mengenai ucapannya ketika kempen PRK Nenggiri.
“Itu (serah SD kepada polis) tidak memadai. Perlu pengakuan lisan secara terbuka oleh Ahli Parlimen bukan daripada PN. Itu cara membuktikan 115 SD tersebut tulen.
“Tanpa pengesahan daripada Ahli Parlimen bukan PN, maka SD itu mungkin dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai yang tidak tahu cerita sebenar.
Mereka (Ahli Parlimen bukan PN) perlu beri pengakuan terbuka bahawa mereka menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri ke 10,” katanya dalam hantaran di Facebook, sambil menambah hanya pihak Istana tahu cerita sebenar.
Puad sebelum ini mencabar Muhyiddin menamakan 115 Ahli Parlimen yang kononnya menyokongnya menjadi perdana menteri pada 2022.
Semalam, presiden Bersatu itu memberi keterangan kepada polis di bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) selama kira-kira sejam berhubung ucapannya di Nenggiri.
Dalam ucapan menimbulkan kontroversi itu, Muhyiddin mempersoalkan mengapa beliau tidak dipelawa oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau telah memperoleh majoriti mudah dan mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang cukup bagi membentuk kerajaan.
Pada Isnin, Muhyiddin mempertahankan ucapannya dengan berkata, ia ‘kenyataan fakta’, bukan bermaksud untuk ‘menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut’.
Susulan itu, beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, menggesa agar tindakan tegas diambil kerana mempersoalkan kuasa Agong. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252