PASIR GUDANG – “Untuk lihat keadaan jenazah, sejujurnya saya tak sanggup, mungkin arwah pun tidak ingin saya melihatnya dalam keadaan seperti itu dan sebagai suami, saya reda dan ikhlas lepaskan arwah pergi, moga syahid buat bidadari syurgaku,” kata Mohd Yusof Mokhtar, 35.
Mohd Yusof, 35, berkata selepas hampir lapan bulan menghilangkan diri tanpa berita, penantiannya akhirnya berakhir apabila akan bertemu isterinya, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, walaupun bukan dalam keadaan dan situasi yang tidak diinginkan.
BHNews melaporkan, walaupun dengan berat hati, dia reda untuk pergi ke hospital terbabit bagi menuntut jenazah isteri dalam keadaan tidak sempurna itu.
“Alhamdulillah, penantian saya berakhir selepas lapan bulan tidak putus-putus ikhtiar mencari Istiqomah di merata tempat.
“Walaupun dapat berita yang menyedihkan ini, kami sekeluarga reda dengan ketentuanNya.
“Setidaknya, ada juga kubur untuk saya dan anak-anak serta keluarga untuk ziarahi nanti.
“Insya Allah, saya akan bawa balik ke Kelantan untuk dikebumikan dan jika sempat hari ini, kita akan kebumi hari ini juga, jika tidak, kita akan buat keesokan paginya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Istiqomah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 di sini, dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja sejak 26 Disember lalu.
Pada 6 Januari lalu, mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang.
Siasatan awal disyaki mangsa dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.
12 Ogos lalu, polis mengesahkan mayat berkenaan adalah Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember tahun lalu.
Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun ditahan polis di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
Hari ini, suspek lelaki berusia 37 tahun itu dituduh di Mahkamah Majistret Melaka untuk didakwa di bawah 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek itu merupakan kenalan lama Istiqomah ketika melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252