GAZA – Israel tidak menghentikan serangan di Gaza walaupun rundingan gencatan senjata bermula hari ini, malah serangan terhadap premis awam terutama sekolah, dilaporkan meningkat.
Puluhan kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu di seluruh wilayah Palestin akibat serangan udara Israel di Kota Hamad manakala di Khan Younis, kereta kebal meletupkan bangunan kediaman.
Antara yang maut termasuk sepasang bayi kembar yang baru tiga hari dilahirkan, menyebabkan bapa mereka yang baru sahaja menerima sijil kelahiran, kini terpaksa pula memohon sijil kematian.
Bapa kembar itu, Mohammed Abu al-Qumsan, tidak berpeluang menunjukkan sijil kelahiran anaknya yang beri nama Aser (lelaki) dan Aysal (perempuan) kepada isterinya yang turut terbunuh dalam serangan Israel itu.
Rakaman bapa yang sedih menangis dan terduduk ketika masih memegang sijil kelahiran kini tular di media sosial, sekali gus menjadi lambang baharu korban perang yang dahsyat dan perjuangan penduduk di wilayah Palestin.
“Saya berada di hospital pada masa itu apabila rumah menjadi sasaran serangan Israel. Ada panggilan, selepas sijil kelahiran dicetak, mengatakan anak saya sudah tiada,” katanya yang mengalirkan air mata tanpa henti.
Abu al-Qumsan meninggalkan isterinya, bayi dan ibu mertuanya di flat tingkat lima yang mereka kongsi di Deir al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza, yang dibom tanpa henti oleh tentera Israel.
Tentera Israel berkata, dalam tempoh 24 jam yang lalu, puluhan serangan udara dilakukan dan penyelamat pertahanan awam Palestin melaporkan tembakan dan serangan udara dilancarkan di seluruh Semenanjung Gaza.
Di Lubnan, Kementerian Kesihatan melaporkan tiga terbunuh akibat serangan berasingan Israel, dalam keganasan rentas sempadan hampir setiap hari sepanjang perang selama 10 bulan di Gaza.
Tentera Israel juga mengesahkan, tentera udaranya ‘menyerang struktur tentera Hizbullah’.
Seorang jurucakap tentera Israel, ketika diminta mengulas mengenai serangan itu, memberitahu AFP bahawa butiran serangan seperti yang disiarkan pada masa ini tidak diketahui oleh IDF (Pasukan Pertahanan Israel).
Di wilayah Tubas di Tebing Barat yang diduduki, lima orang dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel semasa serbuan tentera Israel, termasuk empat rakyat Palestin yang maut dalam serangan dron di bandar Tammun.
Setakat ini, perang di Gaza sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 39,965 mangsa manakala 92,294 lagi cedera. Selain itu, serangan Israel di Tebing Barat meragut 625 nyawa dan lebih 5,400 lagi cedera. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252