GERIK – Lelaki berusia 39 tahun dipercayai menolak isterinya hingga jatuh gaung berhampiran KM31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini pada 27 Julai lalu akan didakwa di mahkamah, esok.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar esok untuk didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, selain Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kerana ugutan jenayah.
“Permohonan Perintah Mengemukakan atau Order To Produce (OTP) dibuat kepada Jabatan Penjara bagi membolehkan suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Kangsar, iaitu selepas suspek selesai dituduh di mahkamah bersangkutan kes mendatangkan cedera yang disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.
Zulkifli berkata, permohonan OTP dimohon semalam (Rabu) dengan suspek akan diambil daripada Penjara Sungai Petani, Kedah hari ini sebelum menjalani pertuduhan esok di Mahkamah Kuala Kangsar.
Terdahulu, permohonan reman ke atas suspek itu dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Majistret Gerik, Savinder Singh Jugindar Singh selama tujuh hari iaitu bermula 6 Ogos lalu sehingga Isnin lalu (12 Ogos) untuk siasatan mengikut Seksyen 307 KK.
Sebelumnya, suspek ditahan reman polis dari IPD Baling, Kedah bersangkutan satu kes mendatangkan cedera mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan difahamkan, individu yang dicederakan oleh suspek adalah abang kandungnya.
Suspek dikatakan cuba membunuh isterinya berusia 32 tahun dengan cara mencekik serta menolak mangsa ke gaung yang difahamkan sedalam 10 meter hingga mengalami kecederaan termasuk patah dan retak tulang belakang.
Mangsa ditinggalkan di tempat kejadian dan dilapor merangkak naik ke arah jalan raya susulan kecederaan dialaminya sebelum dia ditemui orang awam yang menghubungi polis.
Mangsa kemudian dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Gerik untuk diberi rawatan awal susulan didapati mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan sebelum dihantar menerima rawatan di Hospital Taiping.
Sebelum itu, suspek dikatakan membawa mangsa dari Kuala Lumpur menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung dengan sepanjang perjalanan itu berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka yang turut membawa kepada mangsa dikasari selain diugut bunuh oleh suaminya itu.
Zulkifli turut mengesahkan suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil dan Kanun Keseksaan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252