KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak kesal dan kecewa dengan tindakan sebuah persatuan bukan Melayu memasang Jalur Gemilang secara terbalik di premis bangunannya di Jalan Dato Sagor, Kuala Kangsar, baru-baru ini.
Perbuatan itu disifatkan sebagai khianat dan sengaja mahu mensabotaj negara secara halus, selain bukan pertama kali rakyat Malaysia bertindak memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Ketua Penerangan Perkasa Perak, Mohd Safian Sauri Pandak Abd. Samad menegaskan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dengan menghadap pelaku itu ke muka pengadilan untuk dikenakan hukuman setimpal.
“Merujuk laporan di media sosial mengenai perbuatan biadab itu, telah mengejutkan banyak pihak terutama di kalangan netizen yang menzahirkan rasa tidak puas hati mereka.
“Perkasa sependapat dengan mereka dan turut merasa kesal serta kecewa di atas tindakan yang dibuat olehpihak Persatuan Kwongsai Kuala Kangsar.
“Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik oleh persatuan itu terletak di tingkat atas bangunan beralamat di No2 – 3, Jalan Jeragan Abdul Shukor (Jalan Tickel) 33000 Kuala Kangsar, Perak,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis telah menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan insiden bendera Malaysia dipasang secara terbalik di premis bangunan itu, yang mana ia telah tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun dilaporkan berkata, tangkapan dilakukan ke atas lelaki berusia 60-an yang menghuni premis itu susulan satu laporan mengenainya dibuat berkaitan hantaran tular terbabit.
“Polis mengesan hantaran yang ditularkan melalui laman Facebook “Kuala Kangsar Tetap Di Hati” mengenai pemasangan bendera Malaysia secara terbalik itu pada jam 3.20 petang ketika pengadu berada di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar,” katanya.
Menurut Mohd Safian Sauri, bendera atau Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan simbolik sebuah negara yang bebas serta merdeka.
Katanya, ketika bendera Union Jack buat pertama kalinya diturunkan pada jam 6.30 petang 30 Ogos 1957 di Bandar Hilir Melaka menandakan secara rasmi pemerintahan British ke atas Tanah Melayu telah berakhir.
“Pada tanggal 31 Ogos 1957, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dalam acara penuh gilang gemilang di Stadium Merdeka bagi menandakan Persekutuan Tanah Melayu secara rasmi telah bebas dan merdeka dari pemerintahan British,” katanya.
Bagaimanapun, ujar beliau, perbuatan khianat memasang Jalur Gemilang secara terbalik bukan kali pertama, malah sebelum ini beberapa insiden serupa berlaku di SJK (C) Bukit Koman, Raub, Pahang; SJK (C) Kluang, Johor; UMW Toyota, Melaka; dan Menara Boustead, Kuala Lumpur.
Justeru, tegasnya, Perkasa Perak menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang bukan hanya perrmohonan maaf secara terbuka dari pihak Persatuan Kwongsai Kuala Kangsar dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi di masa akan datang.
“Tindakan segera dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kuala Kangsar untuk menandatangani secara serius perbuatan khianat yang telah dilakukan oleh persatuan itu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kepada pihak yang tidak menghormati perlembagaan dan perundangan negara jangan cuba bermain api kerana kedaulatan dan maruah negara tidak boleh dikompromi sama sekali. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252