KUALA LUMPUR – Pendidikan masa kini perlu ada kesalingan antara Sains Tulen dan nilai-nilai sastera serta kemanusiaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan multidisiplin ini merupakan suatu kebiasaan baharu dalam dunia pendidikan.
“Selama ini kita belajar dan masuk ke universiti mengikut beberapa aliran. Aliran Sains Sosial dan Sains Tulen. Hari ini kita lihat pendekatan multidisiplin suatu yang biasa.
“Sebelum ini kita bercakap mengenai STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), sebaliknya, sekarang ada yang sudah mula menggunakan pendekatan melahirkan seorang jurutera pada masa yang sama ada elemen STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik).
“Ada tambahan abjad ‘A’ iaitu seni. Bidang Sains Sosial dan sastera yang ada hubungan pembinaan kemanusia. Ini trend baharu dalam dunia pendidikan di Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia baharu (PPPTM) 2026- 2035 menggantikan Pelan Pembangunan sedia ada yang akan tamat pada tahun 2025.
Data dan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), dan agensi kerajaan lain digunakan sebagai panduan untuk Pelan Pembangunan yang baharu ini.
Aspek STEAM yang disebut oleh Zambry merupakan satu daripada tujuh fokus aspirasi bakat dalam pelan tersebut.
Menurutnya, Pendidikan tinggi pada masa hadapan perlu disesuaikan dengan keperluan yang berkembang bagi pemegang taruhnya iaitu pelajar, perniagaan dan industri, masyarakat dan kerajaan.
“Kita kini berada dalam zaman pasca-normal di mana dunia menghadapi keadaan yang tidak ketentuan, kompleks, dan penuh dengan pertentangan. Pelajar perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk mendepani perkara yang tidak pasti di masa hadapan,” tambah Zambry.
PPPTM 2026-2035 ini akan dilancarkan pada tahun 2025. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252