BERITA UTAMA
Nahas helikopter di Nepal ragut nyawa juruterbang, 4 penumpang warga China

Nahas helikopter di Nepal ragut nyawa juruterbang, 4 penumpang warga China

KATHMANDU – Empat penumpang warga China dan juruterbang terbunuh apabila sebuah helikopter terhempas di Daerah Nuwakot, Wilayah Bagmati, Nepal pada petang Rabu, lapor Xinhua.

“Lima orang dalam helikopter, termasuk juruterbang telah terbunuh. Kami telah menemui semua mayat,” kata Jurucakap Polis Nepal, Dan Bahadur Karki kepada Xinhua.

Helikopter milik Air Dynasty Nepal itu dalam penerbangan dari Kathmandu ke Syafrubesi di Daerah Rasuwa dan terhempas di Shivapuri, Nuwakot, kata Jurucakap Polis Daerah Nuwakot, Tilak Bharati.

Helikopter yang membawa empat penumpang warga China itu terputus hubungan dengan menara kawalan di Kathmandu tiga minit selepas berlepas, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal. Nahas berlaku pada jam 1.54 tengah hari waktu tempatan.

Kedutaan China di Nepal mengesahkan empat warganya terbunuh dalam kejadian itu.

Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli menyatakan rasa sedih atas nahas itu.

Pada 24 Julai lalu, sebuah pesawat domestik terhempas ketika berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, mengakibatkan 18 maut dan seorang cedera. – BERNAMA-XINHUA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *