PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif pada peringkat Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, hari ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan, semalam, berkata mesyuarat itu yang diusulkan oleh Palestin dan Iran, akan membincangkan jenayah kependudukan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin serta pencerobohan dan ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Gambia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak OIC Ke-15.
Penyertaan Mohamad dalam mesyuarat itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan pemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel serta pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran, menurut kenyataan itu.
Ia juga menandakan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, di samping menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Selain itu, Malaysia menyokong kemasukan Negara Palestin ke dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai anggota penuh, menurut kenyataan berkenaan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252