GAZA – Israel mengembalikan lebih 80 mayat rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan tenteranya di Semenanjung Gaza, ketika serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 18 orang lagi pada Isnin, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Memetik laporan Arab News, Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin di Khan Younis Yamen Abu Suleiman berkata, tidak jelas sama ada mayat itu adalah yang digali dari tanah perkuburan oleh tentera semasa serangan darat, atau mereka adalah tahanan diseksa dan dibunuh.
“Tindakan itu tidak memberi kami maklumat mengenai nama, atau umur, atau apa-apa. Ini adalah jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
Mayat akan disaring dan diperiksa dalam usaha untuk menentukan punca kematian dan mengenal pasti identiti mereka.
Kesemua mayat itu kemudiannya dikebumikan dalam kubur besar di tanah perkuburan berhampiran Hospital Nasser di Khan Younis.
Menurut Abu Seleiman, 84 mayat itu tiba dalam lebih 15 beg, masing-masing mengandungi beberapa mayat.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai pemulangan mayat itu.
Sementara itu, di Baitulmaqdis, Forum Keluarga Tebusan Israel ingin mengetahui mengapa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membenarkan penyerahan mayat rakyat Palestin tanpa perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
“Mengapa mayat dikembalikan di luar rangka kerja perjanjian komprehensif? Perjanjian sedemikian boleh membawa pulang tebusan yang masih hidup untuk pemulihan dan individu yang sudah meninggal dunia untuk pengebumian yang sewajarnya,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Di bahagian tenggara Khan Younis, penduduk berkata serangan udara dan kereta kebal Israel berterusan semalaman, termasuk di kawasan yang Israel sudah mengeluarkan arahan pemindahan, mengatakan militan sudah melancarkan serangan dari sana.
Terdahulu, dalam serangan udara Israel membunuh lapan rakyat Palestin dalam sebuah kenderaan di jalan raya berhampiran Khan Younis pada Isnin, kata pegawai perubatan.
Tentera Israel berkata pada Isnin, pihaknya membunuh Abdel-Fattah Al-Zriei, yang dikatakan terbabit dalam jabatan pembuatan senjata di Hamas.
Dalam pada itu, pegawai kesihatan Palestin berkata Zriei, yang juga Timbalan Menteri Ekonomi di Semenanjung Gaza, dibunuh dalam serangan Israel ke atas rumahnya di Deir Al-Balah, di tengah Gaza, yang turut membunuh ibunya. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252