FILEM pejuang kemerdekaan Tok Janggut mendapat sambutan menggalakkan dari para peminat filem Melayu tempatan baru-baru ini mendorong kepada pembikinan sebuah lagi filem beraspirasikan dunia persilatan Melayu dan perjuangan menuntut kemerdekaan di tanah air.
Filem ini akan mengambil kisah dan falsafah Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad, pengasas dan pemimpin agung Silat Cekak sebagai jalan cerita utama yang mana beliau telah membawa perubahan dalam dunia persilatan Melayu, kerohanian dan juga terlibat dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Filem yang dianggarkan berkos antara RM7 juta hingga RM8 juta itu akan memperkenalkan pengarah, barisan pelakon pada Oktober ini dengan dirancang untuk tayangan di pawagam seluruh negera bersempena sambutan ulang tahun 60 tahun Silat Cekak pada tahun 2025.
Yayasan Ustaz Hanafi Ahmad (YUHA) akan bekerjasama dengan United Nine Creative Sdn Bhd yang merupakan penerbit filem bertema keadilan, keberanian dan pengorbanan tersebut dengan matlamat untuk menyumbang kepada pembentukan sahsiah terpuji rakyat Malaysia amat sesuai dengan tema kemerdekaan tahun ini, Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.
Satu majlis memorandum persefahaman dan pertukaran dokumen telah diadakan antara YUHA dan United Nine Creative Sabtu lepas bersempena sambutan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi 1446H/2024 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, Butterworth.
Pertukaran dokumen kerjasama untuk penerbitan filem itu diwakili oleh Pengarah Urusan United Nine Creative, Datuk Mohd Rosdi Shair dan Ketua Pegawai Eksekutif YUHA, SR Roslan Manap.
Ia disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia cawangan Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bagang selaku wakil rasmi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Guru Utama Silat Cekak Pusaka Hanafi merangkap Pengerusi YUHA, Md Radzi Hanafi dan ahli Lembaga Pemegang Amanah YUHA, Aminudin Dahlan.
“Filem ini juga akan mengangkat tema nilai-nilai murni dunia persilatan serta keunikan dan kehebatan seni bela diri Melayu yang setara dengan seni bela diri lain,” kata jurucakap Yayasan Ustaz Hanafi Ahmad (YUHA).
Jurucakap itu berkata, filem tersebut lebih berkisarkan falsafah nilai-nilai murni Silat Cekak yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi Ahmad dan penerapan sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dengan silat sebagai wahana meniup kesedaran, memupuk disiplin dan akhlak serta menolak amalan syirik dan tahyul.
Dari segi asal usulnya, Silat Cekak adalah persilatan yang pernah diamalkan oleh panglima kanan kerajaan Kedah di zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II seperti Panglima Ismail dan Panglima Tok Rashid.
“Apa yang menarik kemungkinan filem ini akan memuatkan sedikit adegan menceritakan begaimana penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Seni Silat Cekak ketika zaman mudanya dan perhubungannya dengan Ustaz Hanafi,” katanya dipetik UtusanTV.
Ustaz Hanafi yang dilahirkan pada 1923 di Kedah memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kampung Gunung, Alor Setar sebelum menyambung pengajian agamanya dengan beberapa orang ulama di negeri itu.
Bagi mendalami ilmu agamanya, beliau mengembara ke seluruh negara untuk menemui beberapa guru agama terkenal yang dapat membimbingnya, termasuk Tok Guru Pak Haji Zain Abdul Rahman yang dapat menghuraikan dan menyimpul berkaitan permasalahan tauhid.
Semangat kemerdekaan yang menyusup ke dalam jiwa penduduk Tanah Melayu ketika itu turut menyusup masuk ke dalam jiwa Ustaz Hanafi sendiri dan beliau pernah terlibat secara aktif dalam salah sebuah parti politik di negara ini.
Beliau percaya yang orang Melayu juga mempunyai sistem bela diri yang tidak kalah dengan beladiri asing. Ustaz Hanafi terpaksa mengembara ke seluruh negara termasuk selatan Thailand, untuk mencari ilmu yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri, menyebabkan beliau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan dan rintangan.
Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986, meninggalkan seorang balu, Maimunah Hj. Othman dan enam orang anak. Legasi perjuangan silat Ustaz Hanafi kini masih diteruskan anak beliau, Md Radzi Hanafi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252