PETALING JAYA – Amanah Johor akur dengan gesaan Presiden Mohamad Sabu supaya tuntutan untuk kerusi DUN Mahkota daripada Umno tidak lagi dibincangkan di media, kata Ketuanya Aminolhuda Hassan.
Ketua Pakatan Harapan (PH) Johor terbabit berkata susulan itu pihaknya akan fokus usaha memantapkan kerjasama komponen kerajaan dengan turun berkempen membantu Barisan Nasional (BN) pada PRK Nenggiri seperti diminta pimpinan.
Kita akur dengan permintaan Mohamad Sabu yang minta supaya tidak buat sebarang kenyataan berkaitan kedudukan DUN Mahkota, kata Aminolhuda kepada FMT.
Perselisihan antara pemimpin negeri kedua-dua parti tercetus apabila Amanah Kluang menuntut diberi laluan di DUN Mahkota, susulan kematian penyandang, Sharifah Azizah Syed Zain, pada Jumaat lepas.
Membidas tindakan tersebut, Pemuda Umno Johor menggesa agar tuntutan kerusi dibincangkan.
Justeru, Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminolhuda kemudian mengingatkan Pemuda Umno Johor bahawa kerajaan negeri ketika ini tidak dibina sebagai kerajaan perpaduan.
Susulan itu, Mohamad mengeluarkan kenyataan perkara itu tidak perlu dibincangkan melalui media memandangkannya belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan perpaduan.
Beliau juga sebaliknya menggesa anggota parti kerajaan perpaduan menumpukan usaha merampas kerusi Nenggiri pada PRK 17 Ogos depan berbanding mendapatkan kerusi di Johor.
Pada PRN Johor 2022, Sharifah Azizah dari BN menang dengan majoriti 16,611 undi menewaskan calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.
Sebelum itu pada PRU14, Amanah yang menggunakan logo PKR menang dengan majoriti 1,668 undi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252