BERITA UTAMA
Penurunan hantaran: Tindakan satu bentuk diskriminasi, PMO tuntut Meta buat permohonan maaf terbuka

Turun hantaran: Tindakan diskriminasi, PMO tuntut Meta mohon maaf secara terbuka

PUTRAJAYA – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyifatkan tindakan Meta menurunkan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri, baru-baru ini sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.

Ia berhubung hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh, 31 Julai lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam pertemuan dengan wakil Meta Platforms Inc yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, hari ini.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO dalam kenyataan telah menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan beberapa hantaran bertarikh 14 Mei dan 30 Julai lalu itu.

Menurut PMO, ia juga adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, PMO telah menuntut beberapa perkara dilakukan Meta termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan yang diambil dan permohonan maaf secara terbuka.

“Kami turut menegaskan, tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.

“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran jelas menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, PMO turut menyatakan kekesalan dengan insiden sekatan siaran langsung menerusi Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin, malam tadi.

“Seperti yang telah dijanjikan dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan PMO memanggil wakil Meta hari ini bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di platform media sosial Perdana Menteri.

Ia termasuk kandungan berkaitan pembunuhan Haniyeh yang diturunkan dan disekat menerusi platform seperti Facebook serta Instagram.

Pertemuan itu juga bertujuan meminta penjelasan berhubung gangguan yang dilaporkan berlaku dalam siaran langsung di Facebook sewaktu Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Semalam, Fahmi berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama pihak Meta berhubung isu penurunan kandungan berkaitan Palestin daripada media sosial Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.

Fahmi berkata pihaknya akan bertegas dalam pertemuan itu sekiranya sebarang kandungan berhubung Himpunan Pembebasan Palestin diturunkan oleh penyedia platform media sosial berkenaan.

Semakan di akaun Instagram Perdana Menteri mendapati tiga hantaran beliau pada 31 Julai lepas yang mengutuk pembunuhan Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.

Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen “Dangerous individuals and organisations”.

Ia menyebabkan Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan Meta berkenaan, manakala Anwar pada 1 Ogos pula memberi peringatan terhadap pihak Meta supaya tidak menjadi perkakas rejim Zionis. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *