BEREGU wanita kebangsaan, Pearly Tan-M Thinaah, mencipta sensasi apabila mengetepikan wakil Korea Selatan, Kim So-yeong-Kong Hee-yong, pada saingan suku akhir Sukan Olimpik Paris sebentar tadi.
Percaturan awal di Arena Porte de La Chapelle itu membantu Pearly-Thinaah selesa mendahului set pertama 7-0 sebelum membenarkan pihak lawan memecah kebuntuan mata.
Namun, gandingan negara itu menawan set pertama 21-12 dalam masa 17 minit sebelum mengungguli set kedua dengan 21-13 untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir.
So-yeong/Hee-yong tidak memberi laluan mudah tetapi kedua-dua beregu saling bertukar mata dan ternyata Pearly-Thinaah yang berada dalam rentak terbaik mula menjarakkan diri selepas kedudukan 8-8 sebelum mendahului 11-8.Penonton Malaysia sempat cemas apabila Pearly terpaksa menerima rawatan selepas mengadu kesakitan di bahagian hamstringnya di kedudukan 13-12.Begitupun, jangkaan untuk melihat gandingan Malaysia mengendurkan langkah mereka meleset sama sekali apabila mereka mengutip lapan mata berturut-turut yang menyaksikan Pearly membenam bulu tangkis dengan satu rejaman kencang ke sebelah kiri untuk memutlakkan kemenangan mereka.Mereka akan mengadakan pertemuan semula dengan wakil China, Chen Qingchen- Jia Yifan, tengah hari esok bagi melunaskan hajat ke perlawanan akhir. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252