PUTRAJAYA – Kerajaan wajar mempercepat siasatan kes kematian bekas Setiausaha Politik EXCO Selangor, mendiang Teoh Beng Hock.
Peguam mendiang, Ramkarpal Singh, berkata perkara itu dibangkitkan keluarga mendiang pada pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga yang mahu supaya siasatan disegerakan.
“Perdana Menteri memberi perhatian ke atas rayuan ahli keluarga supaya menyelesaikan siasatan dengan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Sebelum itu ahli keluarga mendiang tiba pada jam 3 petang dan keluar pada jam 4.15 petang.
Pertemuan itu disertai ibu bapanya, Teoh Leong Hwee, 74 dan isteri, Teng Shuw Hoi, 69.
Beng Hock yang juga saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ditemui mati pada 2009 dan asalnya dipercayai jatuh dari bangunan, sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memutuskan pada 2011 kematiannya kerana membunuh diri, berikutan siasatan yang dijalankan SPRM.
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, Perdana Menteri menyatakan beliau akan membangkitkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dalam masa terdekat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252