Polis parah dirempuh mat rempit lawan arus

Polis parah dirempuh mat rempit lawan arus

SEREMBAN – Seorang anggota polis trafik Seremban dan seorang remaja parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung di KM 36, Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu sedang melakukan tugas sebelum dirempuh remaja terbabit yang melawan arus.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan kaki.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan seorang anggota polis lelaki berumur 36 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.

“Kemalangan berlaku ketika anggota terbabit yang bertugas di BSPTD Seremban sedang melakukan tugas Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau, ketika kejadian, remaja berkenaan dikatakan menunggang motosikal secara lawan arus sebelum merempuh anggota yang juga menunggang motosikal.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kepala sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan,” katanya.

Ujarnya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 307 Akta Kanak-Kanak 2001 disebabkan penunggang di bawah umur 18 tahun.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin berkaitan aktiviti anak mereka terutama pada lewat malam yang berkemungkinan terpengaruh dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram,” katanya. – BHOnline

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *