Bengkel Teater PAKSI-MAPIM-LAKAR: Salah Satu Kaedah Memanfaatkan Potensi Sebenar Teater

HARI INI Pak Long hendak cerita pengalaman hadir sebagai salah seorang fasilitator bengkel; Bengkel Teater di Lumut.

Sdr. Dinsman (Datuk Shamsudun Othman) Presiden Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) dalam salah satu entri muka bukunya pada 11 Julai 2024 membuat hebahan dan pelawaan kepada umum untuk menyertai Bengkel Teater PAKSI-MAPIM-LAKAR, “Mengapa perlu buat teater di mana-mana pun?” dan diakhiri dengan pernyataan “Semuanya ini akan dijelaskan dalam Bengkel Teater 26-28 Julai di Lumut nanti. Insya Allah”.

Bengkel Teater Siri 1 selama tiga hari dan dua malam di Laman Karya Lumut, Lumut, Perak dihadiri oleh 22 orang peserta dan pembimbing. Pembimbing yang otai selain Datuk Dinsman ialah Pengarah Filem tersohor suatu masa dahulu dengan filem “Dia Ibuku” dan “Potret Maria”- Saudara Yassin Salleh dan Dr. Abdul Razak Khalek telah memberikan input dan memaparkan  pengalaman masing-masing dalam bengkel teater ini.

Di antara agensi dan jabatan kerajaan yang menghantarkan peserta masing-masing untuk hadiri bengkel ini termasuklah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah, Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Perpustakaan Awam, Selangor (PPAS).

Bengkel Teater PAKSI-MAPIM-LAKAR

Sebuah bengkel teater untuk menjelaskan secara ringkas, sederhana tapi padat pengenalan mengenai teater dan kisah permulaan penglibatan Dinsman sebagai seorang aktivis dan penggiat teater. Bengkel ini menjadi wadah untuk menceritakan sejarah, pengalaman dan suka duka Dinsman sejak di bangku sekolah menengah lagi dalam ‘kerja membuat teater’. Kaedah ini dipilih Dinsman kerana beliau amat yakin teater boleh dilaksanakan “di mana saja, oleh siapa saja yang berminat tanpa terlalu banyak berfikir dan dikongkong oleh kos dan teori berteater”.

Berbekalkan kepercayaan dan keyakinan yang jitu bahawa teater boleh dilaksanakan oleh siapa saja yang berminat, bengkel yang julung-julung kali dilaksanakan oleh PAKSI-MAPIM-LAKAR terus mengangkat mesej perjuangan “berani berkata benar”, di samping membetulkan tanggapan-tanggapan kurang tepat mengenai teater.

Antaranya tanggapan dunia teater itu sarat glamour dan para penggiatnya adalah bintang istimewa dan kos berteater itu besar sehingga menjadi faktor penghalang dalam menghasilkan teater yang berkesan.

Seterusnya Dinsman juga telah menjelaskan apa sebenarnya teater tanpa teori yang berat-berat kecuali pandangan bahawa sebuah teater mesti ada unsur dramatiknya. Tanpa unsur dramatik ini, orang tidak akan menonton teater.  Contoh-contoh aspek dramatik ini dibicarakan dari teater Dinsman ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’, karyanya berdasarkan sebuah hadith yang panjang tentang seorang sahabat Nabi, Kaab bin Malik yang tidak ikut berperang di Tabuk.

Di awal bengkel, Dinsman berkongsi pengalaman beliau berteater semasa di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah. Beliau menggunakan teater untuk mengkritik pengurusan sekolah waktu itu yang bercadang untuk menaikkan yuran sekolah. Dari ceritanya, boleh diringkaskan Dinsman memilih teater sebagai satu kaedah mengkritik dan memberikan maklum balas. Dan ini bukanlah satu kebetulan.

Beliau amat yakin teater boleh dijadikan wahana efektif untuk berdepan dan mengkritik sang penguasa yang pada pandangannya terkeluar dari landasan dan tanggungjawab. Dengan meneliti hujah bagaimana Dinsman berteater semasa dia di bangku sekolah menengah dengan kos yang sangat minimal tetapi berkesan, peserta bengkel diyakinkan mereka juga boleh mengikut langkahnya untuk berbuat demikian.

Dengan menelusuri pengalaman Dinsman selama lebih 50 tahun berteater, kami yakin ia dapat berbicara dan berhujah premis bahawa sesungguhnya teater bermanfaat untuk dijadikan alat pembangunan negara oleh mana-mana aktivis yang berminat.

Sebelum Pak Long lupa, sesungguhnya acara persembahan spontan oleh para peserta bengkel pada malam hari kedua memang tidak disangka-sangka dan satu kejutan yang cukup manis untuk para pembimbing. Ternyata gesaan dan seloroh supaya masing-masing ‘belanja’ lakonan masing-masing telah disahut oleh peserta dengan semangat bahawa teater boleh dilaksanakan “di mana saja, oleh siapa saja yang berminat tanpa terlalu berfikir dan dikongkong oleh kos dan teori berteater”.

Di akhir bengkel, kami mengutarakan satu soalan ‘Apa yang peserta dapat dari bengkel ini? Sebagai pembimbing dan penganjur bengkel, kami sangat gembira melihat respons, cadangan dan pandangan diberikan para peserta, sangat memberangsangkan. Antara respons dari peserta tentang teater yang memberi kesan pada Pak Long ialah:

*Kefahaman tentang teater itu adalah wajah untuk menjadi lebih ikhlas mengenal diri seterusnya mengenal Tuhan.

*Teater boleh menyembuh qalbu yang lara.

Ada peserta yang terkesan bila mengetahui apa yang mereka lakukan selama ini, misalnya ‘story telling’  itu adalah satu bentuk teater. Tanpa disedari selama ini mereka telah menerapkan elemen teater semasa menjalankan tugas masing-masing. Pak Long boleh katakan terdapat semacam anjakan paradigma dan perubahan minda para peserta hasil pencerahan bahawa teater itu kerja seni yang serius dan BUKAN sekadar satu alat hiburan untuk mengisi masa senggang memang menggembirakan.

Selaras perjuangan sebagai sebuah NGO sastera-budaya yang bertunjang dan didorong visi dan misi “Berani Berkata Benar” dan “Tekad Budaya” sejak tahun 2008, PAKSI amat yakin bahawa sastera-budaya itu tunggak penting pembangunan sebuah negara bangsa yang gagah, merdeka tanpa pengaruh kefahaman politik yang berlebihan. Justeru itu, bukanlah satu kebetulan para penganjur memilih teater sebagai salah satu wahana (vehicle) perjuangan Paksi. Ini masa yang sesuai untuk merakyatkan teater untuk bantu menyelesaikan masalah sosial, mengatasi tekanan kehidupan dan membina sahsiah rakyat khususnya generasi muda. Pendekatan yang sedikit berbeza ini jika disulam dengan perhatian dan kasih sayang mampu menjadi salah satu solusi yang berkesan dalam menangani masalah kehidupan hari ini.

Bengkel teater ini menjadi satu kenyataan kerana ada kerjasama dari MAPIM, LAKAR dan PAKSI. Sumbangan Komrad Yassin Salleh, Dr Razak Khalek yang berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran masing-masing dengan suka rela menambah keberkesanan bengkel ini. Buat teman Paksiwan Pak Long, Puan Shariffah Khadijah ‘terima kasih puan’ – bengkel ini telah jadi satu kenyataan yang cukup manis. Para peserta yang penuh entusias sekali telah menjayakan bengkel ini dan mencipta sejarah dengan keyakinan bahawa teater juga alat dan senjata penting pembangunan negara kita.

Paksi berpendapat ruang dan cakupan serta manfaat teater yang cukup luas itu belum diterokai dengan sepenuhnya. Sesungguhnya  pernyataan polos sarat dengan harapan dan kepercayaan oleh para peserta tentang manfaat teater adalah secebis cahaya yang cukup menggembirakan. Cahaya sebelum wajah sebenar seni budaya itu kelihatan.

NDBengkelTeaterPaksiMapimLakarEpi2529Julai24

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *