Mama menangis siang malam, baliklah ke pangkuan keluarga, Shafila'

Mama menangis siang malam, baliklah ke pangkuan keluarga, Shafila’

KUALA LUMPUR – “Mama menangis siang malam fikirkan kau Mey. Setiap hari mama berdoa semoga kau balik ke pangkuan keluarga dengan selamat…”

Itulah antara kata-kata yang dikongsikan seorang pengguna TikTok bernama Julia94 yang dipercayai ahli keluarga Nur Shafila Suaib, 20, yang dilaporkan hilang sejak 15 Julai lalu.

Nur Shafila yang dipanggil Memey dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi keluarganya sejak 15 Julai lalu sebelum satu laporan polis dibuat sehari selepas itu.

“Tolong siapa yang nampak Nur Shafila Suaib sila hubungi kami. Dia bekerja di Kuala Lumpur, asal (berasal) dari Sabah. Sampai sekarang kami masih tidak dapat jejak dia berada di mana. Keluarga kami risau dan kami semua (berada) di Sabah.

“Minta jasa baik warga Kuala Lumpur tolong share (kongsi) banyak-banyak (di TikTok) sampai kami jumpa adik kami,” tulisnya yang dipetik BHnews pada satu daripada 12 gambar Nur Shafila yang dikongsikan menerusi TikTok.

Sementara itu, Julia berkata, ibunya yang sangat risaukan keadaan dan keselamatan Nur Shafila kini kerap menangis sejak kehilangan gadis itu.

“Mama menangis siang malam fikirkan kau Mey, tengoklah,” tulisnya dalam kapsyen bersama sekeping gambar wanita yang dipercayai ibu kepada Nur Shafila yang riak wajahnya penuh kesedihan.

Turut disertakan sekeping gambar ibu Nur Shafila sedang berdoa selepas bersolat dengan catatan ‘setiap hari mama berdoa semoga kau balik ke pangkuan keluarga dengan selamat’.

Perkongsian Julia itu setakat ini mendapati 103 tanda suka, sembilan komen dan dikongsikan 27 kali oleh pengguna TikTok lain.

Terdahulu BH melaporkan, polis meminta bantuan awam untuk mengesan seorang pengasuh taska yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 15 Julai lalu.

Nur Shafila,20, kali terakhir dilihat di Kampung Sri Malaysia, di sini dan polis menerima laporan berhubung kehilangan wanita itu pada 16 Julai lalu.

“Mangsa yang bekerja sebagai pengasuh taska di Desa Petaling gagal dihubungi oleh keluarga sejak 15 Julai.

“Nur Shafila berketinggian 148 sentimeter, berat 45 kilogram, berbadan sederhana kurus, bertudung dan tidak berkaca mata,” katanya.

Katanya, alamat terakhir wanita itu adalah di 12-23 Pangsapuri Sri Malaysia, No 2 Jalan 3/141 Kampung Sri Malaysia, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Balai Polis Salak Selatan Baru, Sarjan Khalik Abdul Wahab, di talian 03-79815053 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *