BATU PAHAT – UMNO perlu kikis budaya ‘gila jadi calon’ yang sudah meresap dalam parti, sekiranya mahu mengembalikan kepercayaan semula rakyat khususnya orang muda.
Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, budaya itu antara faktor parti merekodkan prestasi buruk selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) sehingga kekalahan teruk pada PRU15.
Beliau berkata, sejak PRU pertama hingga PRU11, UMNO merekodkan prestasi terbaik dan ini menyebabkan ramai kalangan pemimpin berebut menjadi calon kerana yakin akan menang.
Katanya, budaya tambahan pula muncul pada PRU13 apabila ramai berebut-rebut menjadi calon sehingga sanggup mensabotaj parti supaya calon dipilih tewas.
“Kenapa jadi begini? Kerana mereka tengok pada PRU pertama hingga PRU11, letak sahaja siapa calon, kayu ke… songkok ke… besi ke… tetap menang.
“Maka akhirnya perjuangan UMNO ini bertukar menjadi perjuangan nak cari siapa boleh dapat calon kerana bila dah dapat automatik menang.
“Maka benda ini (gila nak jadi calon) masuk sikit-sikit tanpa kita sedar, tetapi rakyat sudah memberi kita simpton… apa simpton diaorang bagi daripada PRU pertama sampai PRU11?” katanya dipetik BHNews.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ayer Hitam di sini, hari ini.
Johari berkata, selepas melalui 11 PRU dengan menang dua pertiga, UMNO dilanda tsunami yang menyebabkan hilang lima negeri.
Menurutnya walaupun ketika itu UMNO menang dua pertiga, namun melalui analisa kemenangan, jumlah majoriti diraih parti semakin lama semakin menipis.
Beliau juga mengakui UMNO sudah tidak dinamik sebagai sebuah parti kerana tiada perubahan, melakukan benda, strategi serta perangai sama.
“Kita nak harapkan keputusan berbeza yang tak mungkin berlaku, kita dah menang dua pertiga, selepas itu, kita menang majoriti mudah.
“Disebabkan itu kita lalai dan tak jaga, akhirnya sebahagian rakyat tak boleh tahan, dia bagi kita hanya majoriti mudah. Bila menang majoriti mudah, kebanyakan kawasan kita menang majoriti bawah 1,000 undi.
“Waktu itu bukan disebabkan mereka (pembangkang) kuat, tak ada jentera pun boleh menang, datang dua minggu pun boleh menang. Tak logik langsung… bila tanding kalah dan sekarang hanya tinggal 26 kerusi,” katanya.
Dalam pada itu, Johari ketika ditemui selepas perasmian berkata, beliau mahu melihat bagaimana UMNO dibaik pulih dari dalam serta memulihkan maruah partinya kepada generasi akan datang.
Katanya, beliau mahukan kemenangan di Parlimen Ayer Hitam dikekalkan kerana ia antara kubu UMNO.
“Dalam Ayer Hitam, kita menang 100 peratus (dua DUN dan Parlimen), apa yang saya beritahu, bila kita kuat dalam satu-satu kawasan, kita jangan ambil mudah dan bila UMNO kuat, MCA automatik dapat manfaat.
“Walaupun kawasan Parlimen Ayer Hitam majoriti Melayu, bila MCA bertanding dia kuat. Sebab itu saya mahu semua kawasan UMNO kita melihat ke dalam bukan lagi keluar,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252