PKPRCSWKM perbetulkan dakwaan salahguna lencana, logo - Fadzillah Hussin

Siri Ke-14: Ranjau di sepanjang jalan kehidupan

Pengenalan

CERITA hidupnya sangat mengharukan. Banyak ranjau kehidupan terpaksa dilaluinya. Kadang-kadang berlaku tanpa rasional dan kehendaknya sehingga banyak kecelaruan menghantui fikirannya. Malah, banyak mistik dan mimpi menyelubunginya.

Banyak pihak mencemuhnya dan menyusahkan hidupnya. Namun, hidup terpaksa diteruskan. Ketabahan, kesabaran dan kegigihan hidup mesti dipegangnya sebagai panduan dan pakaian kehidupannya. Hanya dengan menyerah diri kepada Allah SWT, dapat menjadi kekuatan untuknya menghadapi cabaran dan gelombang kehidupan.

Baginya, semuanya terjadi dengan ketentuan Allah SWT. Sebagai manusia ciptaan-Nya, dia tidak dapat mengelak ketentuan Ilahi. Dia menerimanya dengan seadanya.

Kak Lah telah diberi nama Fadzillah binti Hussin pada surat beranaknya sewaktu masuk sekolah rendah. Ayahnya, menamakan Fadzillah kerana anak kawan baiknya yang sama mendaftar sekolah itu bernama Fadzil. Dia yang masih kecil hanya memandang kepada ayahnya tanpa sebarang kata.

Maka, dalam surat beranak yang didaftar kali kedua itu, dia dinamakan Fadzillah binti Hussin dan tarikh kelahirannya pada 7 Disember 1960 di bandar Kota Bharu, Kelantan. Ini dengan sendirinya menghilangkan status surat beranaknya yang pertama, yang mencatatkan unnamed pada bahagian nama kanak-kanak. Ini merupakan satu permulaan hidup yang penuh tanda tanya. Apakah sebenarnya yang berlaku?

Kehidupan dilalui Kak Lah agak berlainan daripada orang lain. Sejak kecil ibunya sering memberitahu bahawa Kak Lah ialah anak raja, berketurunan raja atau berdarah raja. Ungkapan tersebut sering dinyatakan oleh ibunya, tetapi tidak dihiraukannya. Sebagai kanak-kanak yang masih mentah, Kak Lah melihat ayahnya yang dikenali sejak azali lagi ialah ayah Hussin. Malah, nama ayahnya dalam kad pengenalan ialah Hussin.

Pada 1 November 2010, bonda tersayang iaitu Mek Jah telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Lebih kurang sebulan sebelum meninggal dunia, rahsia hidupnya yang sebelum ini disimpan rapi telah diluahkan kepada Kak Lah dan ahli keluarga yang lain.

Pada ketika ini Kak Lah berusia 50 tahun. Pelbagai persoalan mula timbul di benak fikiran Kak Lah, termasuk ciri-ciri fizikal beliau yang kelihatan amat berbeza berbanding adik beradik yang lain. Dalam pengembaraan mencari diri dan salasilah keluarga, Kak Lah mengungkap kembali kisah hidupnya sejak kecil yang penuh dengan onak dan duri. Ini bermula dengan sejarah kehidupan bonda tersayang, Mek Jah binti Ibrahim (Tuan Jah binti Tan Ibrahim).

Mek Jah (Tengku Khatijah) (Tuan Jah) binti Ibrahim: Ibu tercinta

Mek Jah
Mek Jah

Pada tahun 1946, Mek Jah yang ketika itu berusia lapan tahun bersama adiknya, Mak Su Yah telah dibawa oleh seorang wakil istana untuk menjadi pengasuh dan anak angkat istana. Mereka telah dibawa ke Istana Jahar, Kota Bharu dengan menaiki lori. Kehidupan yang susah di kampung telah menyebabkan ibu bapa Mek jah membenarkan dua anak perempuannya bekerja di istana. Di sana, mereka akan didedahkan dengan peraturan istana untuk difahami dan dilaksanakan dengan baik.

Mereka juga akan melakukan kerja-kerja sebagai pelayan istana dan kerabat diraja. Mereka juga menjadi pengasuh anak-anak kerabat diraja. Kebersihan istana juga dalam tugasan mereka, di samping diajar memasak makanan kegemaran kerabat diraja. Inilah salasilah Fadzillah (Kak Lah) yang dapat diperbetulkan setelah melalui penyelidikan yang mantap.

Ketika berusia 13 tahun, Mek Jah dan adiknya telah dibawa keluar dari istana oleh keluarganya. Memandangkan usianya telah sesuai untuk dikahwinkan, iaitu mengikut kebiasaan kehidupan kampung pada masa itu, Mek Jah telah dinikahkan dengan seorang pemuda bernama Ramli. Perkahwinan itu hanya bertahan selama dua tahun.

Ketika berumur 15 tahun, Mek Jah telah bernikah dengan Wan Hamat, suami orang di Bukit Bakar, Machang. Tidak sampai setahun usia perkahwinan itu, perceraian telah berlaku sekali lagi. Ketika itu, Mek Jah sedang mengandung enam bulan. Talaknya jatuh selepas dia melahirkan seorang anak lelaki.

Selepas bersalin, ibu mentuanya telah bersetuju menjaga bayi tersebut. Mek Jah kembali bekerja di istana. Dia bekerja di rumah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Ahmad Kamil yang bergelar Dato’ Amar Diraja. Rumah Dato’ Amar itu terletak dalam kawasan istana.

Terdapat sebuah lorong menghubungkan rumah kediaman Menteri Besar dan Istana Kota Balai, tempat kediaman rasmi kerabat diraja Kelantan. Mek Jah juga selalu berulang alik ke Istana Kota Balai Besar dengan arahan Dato’ Amar, untuk membantu kerja-kerja di istana. Mak angkat Mek Jah ialah ketua pengasuh istana besar. Mek Jah sangat rapat dengan ibu angkatnya itu sehinggalah wanita itu meninggal dunia.

Sejarah telah membuktikan pada masa dahulu, hubungan rakyat dan kerabat diraja adalah sangat rapat dan dekat. Sebagai pemerintah yang berkuasa, rakyat dilarang menderhaka dan raja mempunyai kuasa terhadap rakyatnya. Ini berlaku di mana-mana sahaja dalam tamadun dunia.

Jika dibaca sejarah Eropah, China, Timur Tengah, Asia Tenggara dan banyak lagi, termasuk sejarah tempatan, konsep raja mutlak dan rakyat tidak boleh menderhaka memang terdapat dengan lumrah sekali.

Raja boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki dan rakyat tidak boleh membantah. Raja juga mempunyai ramai isteri, yang kadang-kadang diambil dari isteri orang yang raja berkenan. Dayang-dayang atau pelayan-pelayan istana juga menjadi pelengkap kepada kehidupan raja di istana.

Masa mungkin telah berubah, tetapi amalan kehidupan yang sama tetap berlaku sebagai satu kebiasaan hidup, terutama pada awal dan pertengahan kurun ke-20. Cerita-cerita istana seperti itu tidak didedahkan kepada orang ramai kerana warisan budaya yang dipegang oleh masyarakat.

Dalam sejarah Melayu/Sulalatus Salatin, karangan Tun Seri Lanang, keadaan itu jelas sekali diperlihatkan kepada generasi hari ini. Tun Seri Lanang, seorang Bendahara Kerajaan Melaka-Johor Lama, pada kurun ke-17, telah meninggalkan tulisannya untuk tatapan kita semua, untuk direnung dan diambil iktibar atau dijadikan panduan.

Yang paling penting dalam peristiwa pemerintahan Sultan Mahmud Syah Melaka ialah bagaimana kuasa mutlak raja dan konsep rakyat pantang menderhaka itu dilaksanakan. Sultan Mahmud Syah telah bersukaria dengan isteri Tun Biajit di rumahnya ketika Tun Biajit bertugas di laut. Lihat petikan ini:

“Sekali sepertua Sultan Mahmud Syah pergi bermain dengan isteri Tun Biajit, anak Laksamana. Tatkala itu ia tiada di rumah, pergi ke pegangannya. maka pada suatu malam baginda pergi ke rumah Tun Biajit. Setelah dini hari maka baginda pun kembali, segera bertemu dengan Tun Biajit, baharu datang dari air, diiringi segala orangnya, terlalu banyak. Akan Sultan Mahmud Syah tiada berapa orang mengiringkan baginda. Maka Tun Biajit pun tahu akan Sultan Mahmud Syah turun dari rumahnya. Jikalau hendak dibunuhnya pada masa itu pun dapat. Daripada ia hamba Melayu tiada mahu mengubah setianya juga sekadar lembingnya juga ditimang-timangnya. Katanya, hai Sultan Mahmud Syah, demikianlah pekerti tuan hamba. Sayang tuan hamba tuan pada hamba. Jikalau tuan bukan tuan pada hamba, nescaya lembing ini ku tikam di dada tuan hamba”.

“Maka segala hamba raja itu hendak gusar. Maka titah baginda, jangan kamu sekalian amarah, kerana katanya itu benar. Sebab sedia salah kita padanya, hukumnya patut dibunuhnya oleh dia. Hamba Melayu tidak mahu durhaka mengubah setianya, maka demikianlah itu lakunya”.. Maka oleh Tun Biajit, isterinya diberi talaknya, syahadan ia pun tiadalah mahu mengadap dan bekerja lagi. Maka Sultan Mahmud Syah akan Biajit itu dipujuknya, dihantar baginda seorang gundik baginda, Tun Iram Sundari namanya, diambil oleh Tun Biajit, tetapi sungguhpun demikian tiada juga Tun Biajit mahu ke majlis”.

Mek Jah ialah anak angkat kepada Dato’ Amar (Dato Perdana). Mek Jah merupakan salah seorang pengasuh di istana. Ketika menjalankan tugas di istana, beliau berusia dalam lingkungan 13 tahun dan telah pun mempunyai seorang cahaya mata. Sepanjang menjalankan kerja di istana, pelbagai onak dan duri telah dilalui oleh Mek Jah.

Di sinilah, kisah perjalanan hidup seorang wanita miskin yang teraniaya, yang diperhamba abdikan dalam sejarah hidup keluarga yang ditinggalkan oleh bapa kandung (Tan Ibrahim). Rentetan sejarah itu, beliau menjadi mangsa keadaan dalam istana. Berikutan daripada itu, beliau mengambil keputusan keluar dari istana dan mencari penyelesaian dalam permasalahannya yang dibantu oleh Tok Wan.

Akhirnya pada awal tahun 1959, Mek Jah nekad melarikan diri dari istana. Dia tidak mahu menjadi mangsa secara berterusan. Maruah dirinya mesti dijaga. Dia mahu membina hidup baharu di luar istana. Bagaimanapun, dia tidak menyangka ada janin yang sedang terbentuk dalam rahimnya. Usia kandungannya itu baharu mencecah sebulan.

Perasaannya tentulah berkecamuk mengenangkan nasib kandungannya itu. Masyarakat tentu akan memandang rendah kepadanya. Mereka tidak tahu cerita yang sebenar. Dia menjadi mangsa keadaan; dia tidak meminta nasibnya jadi begitu. Dia mesti menjaga maruah kandungannya itu dengan seberapa baik yang boleh. Dia tidak mahu anaknya menjadi mangsa kejadian yang telah dilaluinya itu.

Dengan mengikut nasihat dan tindakan seorang sahabat rapatnya yang bernama Mek Som, beliau telah dijodohkan dengan seorang jejaka yang dipertemukan di Kuala Krai bernama Hussin bin Ibrahim yang berketurunan Jepun. Hussin ialah anak angkat seorang Melayu. Ibunya juga adalah mangsa Perang Dunia Kedua. Oleh sebab tidak mahu mengingati peristiwa kejam tentera Jepun terhadapnya, sebaik sahaja lahir, Hussin telah diserahkan kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat.

Hussin
Hussin

Ibunya telah berkahwin lain dan tidak pernah mencari Hussin sehingga akhir hayatnya. Keadaan dan nasib yang sama ini, telah menyebabkan Hussin faham keadaan Mek Jah dan sanggup sehidup semati dengannya.

Mek Jah telah berkahwin dengan Hussin dengan mas kahwin RM250. Mek Jah sanggup menggadai satu-satunya gelang yang dimiliki demi menyelamatkan maruahnya. Tidak ada majlis yang Istimewa, cukup sekadar pernikahan itu dilakukan dengan disaksikan oleh beberapa kaum keluarga dan rakan-rakannya.

Kehidupan yang amat susah itu tidak membolehkan sebuah majlis kenduri kahwin yang gah diadakan. Biasanya selepas akad nikah, jamuan kecil diadakan dengan makanan yang didapati di sekitar kampung sahaja. Masyarakat kampung telah biasa dengan majlis ringkas seperti itu.

Kehidupan Kak Lah semasa kecil dan remaja

Pada bulan Disember 1959, kandungan Mek Jah selamat dilahirkan. Lahirlah seorang bayi perempuan. Menurut Kak Lah, maknya bercerita, kelahirannya itu berlaku di Hospital Kota Bharu. Ibunya bersendirian menyambut kelahirannya.

Tidak ada sanak saudara di sebelahnya. Selepas dibenarkan keluar, Mek Jah terpaksa mengharung air kerana banjir berlaku di sekitar dan bandar Kota Bharu. Dia terpaksa berjalan kaki balik ke kampungnya yang jauh dari Kota Bharu. Bayinya dibungkus dengan kain batik untuk mengelakkan kesejukan hujan.

Dia terpaksa berjalan kaki kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk menaiki bas ataupun teksi. Suaminya Hussin tidak bersamanya. Ini perjuangannya sendiri. Bayi itu miliknya. Rahsia hidupnya disimpan kejap di dadanya. Hanya Mek Som, sahabatnya dan Hussin, suaminya yang mengetahuinya. Dia menyimpannya berpuluh-puluh tahun sehingga kematian menjemputnya.

Kehidupan Kak Lah semasa kecil sangat susah. Ayahnya, Hussin hanya bekerja kampung; ibunya pula hanya dapat membantu membuat jualan kecil di kampungnya. Sebagai anak yang tua dalam keluarga ibunya, Kak Lah diminta membantu mana yang boleh.

Sejak berumur empat tahun dia telah membantu keluarga menjual ais krim di sekitar kampung, iaitu Kampung Dusun, Jalan Bayam, Kota Bharu demi menampung kehidupan harian. Kak Lah juga membantu ibunya menjalankan kerja rumah. Di sini, ibunya telah melahirkan adik kepada Kak Lah, iaitu Suhidah dan juga Azhar. Ketika berumur lima tahun, Kak Lah dan keluarga telah berpindah ke Kampung Dalam Lanas, Tumpat dan menetap di sana sehingga dia berumur tujuh tahun.

Kak Lah Zaman Kanak-Kanak
Kak Lah Zaman Kanak-Kanak

Ayahnya, Hussin telah bekerja sebagai Askar Wataniah. Oleh itu, semangat kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sangat kental di hatinya sehingga dia digelar oleh rakan-rakannya sebagai “Hussin Merdeka”. Mungkin ini satu cara untuk menghapuskan sejarah silam bapanya, seorang penjajah Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua. Hussin mahu menjadi warganegara yang berguna. – NasionalDaily / Bersambung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *