Bab 5
PUTERI Saadong ialah anak angkat kepada Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II. Puteri Saadong dan ibu angkatnya Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II adalah legenda kepada wanita Kelantan, baik dari segi tingkah laku, kecantikan rupa paras dan semangat peribadi.
Semasa pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II di Gunung Cinta Wangsa itu, terdapat sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal, yang terletak di sebelah timur laut di negeri Kelantan. Pada tahun 1638, Raja Besar telah menyerahkan takhta kepada anakandanya Raja Sakti. Setelah Raja Sakti mangkat, anakandanya Raja Loyor telah ditabalkan menjadi raja pada tahun 1649 (1059H). Baginda dianugerahi dua cahaya mata iaitu seorang putera (yang mangkat sewaktu kecil) dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II tidak pernah berkahwin walaupun ramai raja dan anak raja datang meminangnya. Pinangan itu ditolak dengan baik oleh Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Baginda terpaksa mengenepikan hasrat untuk berkahwin kerana bimbang akan berlaku pergaduhan antara putera-putera raja yang meminangnya.
Baginda bimbang peperangan akan mengorbankan rakyatnya yang tidak berdosa. Bagaimanapun, lama kelamaan, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II berasa sunyi kerana hidup bersendirian.
Pada ketika itu, baginda mempunyai hubungan baik dengan kerajaan yang berdekatan, iaitu kerajaan Loyor di Jembal. Ketika melihat Puteri Saadong semasa mengadap Raja Loyor di Jembal telah timbul hasrat Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II untuk mengambil puteri itu sebagai anak angkatnya.
Rundingan antara Raja Loyor dan permaisurinya berakhir dengan kerelaan mereka menyerahkan Puteri Saadong untuk dijaga oleh Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II. Baginda telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.
Puteri Saadong telah dibesar, dididik dan diasuh dengan penuh kasih sayang oleh Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II.
Kemasyhuran Puteri Saadong
Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II telah mengajar Puteri Saadong dengan pelbagai ilmu yang sesuai untuk menjadi seorang wanita yang hebat. Puteri Saadong diajar bersilat dan ilmu-ilmu kepahlawanan yang lain supaya dapat mempertahankan diri dan kerajaannya apabila menjadi pemerintah nanti.
Ilmu agama Islam juga diajar kepadanya. Puteri Saadong membesar sebagai seorang gadis yang sungguh anggun dan menawan. Kecantikannya dikatakan tidak ada tolok banding dengan puteri-puteri lain sezaman dengannya.
Kecantikan Puteri Saadong tersebar ke seluruh negeri, malah sampai kepada pengetahuan Maharaja Siam, iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Maharaja Prasat Thong telah menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak oleh Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II dengan cara yang baik.
Menyedari tindakannya itu akan mengundang padah, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II dengan segera mengahwinkan Puteri Saadong yang berusia remaja itu, sekitar usia 15 tahun dengan Raja Abdullah, anakanda Raja Bahar, iaitu sepupunya. Perkahwinan yang penuh adat istiadat diraja dan keramaian itu berlangsung pada tahun 1663.
Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II kemudiannya telah menitahkan hulubalang dan rakyatnya membuka sebuah kawasan lain sebagai tempat persemayaman baharu sempena perkahwinan anak angkatnya itu.
Tempat persemayaman itu dinamakan Kota Jelasin, yang terletak di sebelah Sungai Kelantan (Kampung Kota, Kelantan sekarang). Pada tahun 1667, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II menabalkan Puteri Saadong sebagai pemerintah Kelantan yang ketujuh dan memasyhurkan dirinya sebagai Puteri Wijayamala.
Ada yang mengatakan pemerintahan Puteri Saadong itu berlaku pada tahun 1663. Di bawah pemerintahannya dan suaminya, Kota Jelasin dikatakan sangat makmur dan ramai penduduknya.
Selepas pelantikan itu, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II/Puteri Wijayamala, dikatakan telah kembali semula ke Gunung Cinta Wangsa, kota pemerintahan awalnya. Ada juga yang mengatakan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II/Puteri Wijayamala, yang sudah lanjut usia itu pun berangkatlah ke suatu tempat yang jauh daripada semua orang, iaitu di Gunung Ayam (Tanah Merah) untuk berhening diri dan memberi tumpuan kepada hal akhirat serta meninggalkan segala kepentingan hidup keduniaan.
Baginda menghambakan diri dengan sepenuh jiwa raganya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Selepas itu kisahnya tidaklah lagi diketahui dan hilang lenyap begitu sahaja.
Namun, Raja Siam itu tidak pernah melupakan dendamnya. Dia berasa tercabar atas penolakan lamarannya itu. Dia marah atas perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah. Raja Prasat Thong telah mengarahkan panglima-panglima yang terpilih ke Kota Jelasin untuk meminta atau merampas Puteri Saadong daripada Raja Abdullah.
Utusan tersebut telah sampai ke Kota Jelasin dan mengadap Raja Abdullah untuk menyampaikan kehendak raja mereka itu. Permintaan Raja Siam itu tentunya ditolak oleh Raja Abdullah; tidak mungkin baginda akan menyerahkan isteri kesayangannya begitu sahaja.
Satu peperangan yang hebat telah berlaku. Raja Abdullah terpaksa berundur ke Melor dan membina penempatan baharu dengan nama Kota Mahligai. Angkatan Siam mara pula ke Melor dan Kota Mahligai telah diserang dengan dahsyat sekali. Kemusnahan dan kehancuran merebak dengan meluas dan kematian berlaku di mana-mana sahaja. Puteri Saadong yang melihat kehancuran kerajaannya itu, berasa amat kecewa. Baginda ingin melihat kemusnahan itu berhenti segera.
Puteri Saadong tidak mahu kerana dirinya, Kota Jelasin dan rakyatnya menanggung akibatnya. Puteri Saadong lalu membenarkan rombongan Raja Siam masuk untuk mengadap. Akhirnya selepas berunding dengan suaminya Raja Abdullah, dengan secara sukarela Puteri Saadong telah sanggup pergi ke Siam demi kepentingan kerajaan dan rakyatnya.
Puteri Saadong telah dibawa oleh Panglima Tentera Siam yang bernama Phraya Decho ke Ayudhia. Ternyata pengorbanan Puteri Saadong sangat tinggi untuk rakyat dan kerajaannya.
Raja Abdullah sangat kecewa dengan keputusan isterinya. Namun, baginda juga sedar, itu adalah demi masa depan kerajaan dan rakyat jelata. Niat Raja Siam menyerang negerinya hanyalah satu sahaja, iaitu ingin memiliki Puteri Saadong.
Oleh itu, daripada rakyat dan negeri menerima bencananya, Raja Abdullah terpaksa membiarkan sahaja Raja Siam itu mendapat apa yang dihajatinya. Bagaimanapun, Puteri Saadong telah bersumpah dan berjanji kepada suaminya Raja Abdullah, bahawa walau apapun terjadi, baginda akan tetap menjaga kesucian dan kehormatannya sebagai seorang isteri.
Puteri Saadong juga berjanji, pada suatu hari nanti, baginda akan kembali kepada suaminya itu. Baginda meminta agar suaminya sabar menunggu kepulangannya dengan penuh kesetiaan. Meskipun berat bagi Raja Abdullah, itulah satu-satunya jalan yang terbaik.
Walaupun rakyat meminta Puteri Saadong tidak pergi ke Siam, namun puteri itu tetap berdegil. Mereka menangis mengiringi raja yang amat dikasihinya itu.
Ketika Puteri Saadong berada di Siam, ayahandanya Raja Loyor telah mangkat. Jenazah baginda telah dimakamkan di Jembal (bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti sekarang). Adinda Raja Loyor iaitu Raja Omar ditabalkan menjadi sultan dengan gelaran Sultan Omar.
Oleh sebab kesetiaan Puteri Saadong kepada suami, dirinya diusahakan supaya tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Baginda telah menjaga kesucian diri dan memelihara kesetiaan kepada suaminya selama 13 tahun berada di negeri Siam. Baginda dikurung dalam sebuah istana khas dengan dikawal ketat dan tidak dibenarkan berjumpa sesiapa pun kecuali Raja Siam yang datang memujuknya pada setiap hari.
Namun, imannya tetap teguh menangkis rayuan itu. Di sepanjang masa menjadi tahanan itu, Puteri Saadong menghiburkan diri dengan tarian dan lagu makyung, menora dan main puteri (tok teri). Inilah pengubat hatinya yang sunyi dan lara mengenang suami yang jauh di mata.
Akibat tindakan yang dilakukan terhadap Puteri Saadong, Raja Siam dikatakan telah dijangkiti kudis satun yang sukar diubati di seluruh badannya. Sami Buddha telah cuba untuk mengubatinya, tetapi tidak berjaya.
Sebaliknya, mereka memaklumkan kepada Maharaja bahawa kudis itu timbul dengan sebab kesucian seorang isteri mempertahankan kesucian diri dan cintanya kepada suaminya, iaitu Puteri Saadong. Sami Buddha itu telah menasihatkan Raja Siam supaya meminta pertolongan daripada Puteri Saadong.
Ada pula mengatakan Puteri Saadong telah menawarkan diri untuk mengubat penyakit itu, tetapi dengan satu syarat. Syaratnya ialah Raja Siam mesti melepaskannya jika penyakit itu dapat disembuhkan olehnya. Ini dipersetujui oleh Raja Siam. Maharaja Siam telah berkata kepada Puteri Saadong, “mintalah apa-apa pun asalkan bukan bulan dan bintang”.
Puteri Saadong telah mengubati Raja Siam itu dengan air basuhan kakinya. Kudis itu telah sembuh serta merta. Sejak itu pandangan Raja Siam terhadap Puteri Saadong telah berubah daripada memandangnya sebagai seorang perempuan biasa kepada seorang perempuan yang suci yang patut dihormati seperti keramat.
Walaupun secara halusnya, tindakan Puteri Saadong mengubat Raja Siam dengan basuhan air kakinya itu lebih melambangkan kedudukan taraf mereka yang sangat berbeza. Ternyata Puteri Saadong lebih terhormat dan mulia daripada Raja Siam itu sendiri.
Raja Siam tetap menunaikan janjinya. Baginda telah memenuhi permintaan Puteri Saadong untuk mengembalikannya semula ke pangkuan suaminya. Atas permintaan Puteri Saadong, Raja Siam telah memilih beberapa orang panglimanya yang beragama Islam untuk mengiringi Puteri Saadong kembali ke negerinya.
Mereka telah meninggalkan Siam dengan menggunakan bahtera Raja Siam, sebagai tanda hormat baginda kepada Puteri Saadong. Perjalanan itu telah mengambil masa beberapa bulan.
Sebaik sahaja berlabuh di Kuala Kemayang (Kuala Kemasin sekarang), seorang panglima Siam telah meninggal dunia dan dikebumikan di Kuala Kemayang dan perkuburan itu digelar Kubur Datuk Kemayang (tanah perkuburan tersebut telah lenyap dipukul ombak dan ditenggelami air laut, tetapi perkampungan tersebut masih lagi dipanggil Kampung Datuk Kemayang.
Perjalanan itu diteruskan lagi sehingga tiba di Tanjung Jering. Di sini, seorang lagi panglima Siam telah meninggal dunia dan dikebumikan di sini. Tanah perkuburan itu dinamakan Tanah Perkuburan Shaikh Tanjung Jering.
Dari Tanjung Jering mereka bergerak ke Padang Duri. Di sini, seorang lagi panglima Siam meninggal dunia. Tempat pengebumiannya dinamakan Dato’ Padang Duri. Rombongan itu kemudian tiba ke Pengkalan Jembal, lalu singgah mengadap Sultan Omar iaitu bapa saudara Puteri Saadong.
Rombongan Puteri Saadong kemudian meneruskan perjalanan dan telah singgah berehat selama tujuh hari di Bukit Marak. Di sini, seorang lagi panglima Siam telah meninggal dunia dan dikebumikan di Tambak. Tanah perkuburan itu digelar Kubur Dato’ Tambak ataupun Kubur To’ Bukit.
Puteri Saadong bersama dengan tiga paling yang masih hidup terus ke Kota Mahligai untuk menemui suaminya Raja Abdullah. Setibanya di istana dan memasuki balai penghadapan, dilihatnya Raja Abdullah bersemayam bersama isteri mudanya. Maka, berlakulah satu pertikaman lidah antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah.
Puteri Saadong berasa sangat kecewa dengan ketidaksetiaan suaminya itu. Malah, yang paling menyedihkan Puteri Saadong, suaminya telah berkahwin dengan seorang pengasuh istana bernama Mayang Sari, anak Penghulu Ngah dari Jembal. Hancur luluh hatinya seperti kaca terhempas ke batu. – NasionalDaily
BERSAMBUNG