BERITA UTAMA

HRD Corp guna RM3.77 bilion untuk pelaburan risiko tinggi, kaedah pembelian harta mencurigakan – PAC

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk melabur dalam pelbagai aktiviti yang dianggap berisiko tinggi.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata PAC juga mendapati wujud tatakelola yang lemah serta kaedah pembelian harta yang mencurigakan dalam organisasi tersebut.

“PAC mendapati HRD Corp yang bukan sebuah institusi pelaburan telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.

“Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada kerugian besar,” katanya pada sidang media laporan PAC di Parlimen di sini, pada Khamis.

Mas Ermieyati menjelaskan, dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Mas Ermieyati berkata melalui prosiding yang dijalankan, jawatankuasa itu mendapati kutipan levi dicatatkan HRD Corp meningkat begitu ketara iaitu RM2.134 bilion pada 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.

Katanya, peningkatan itu didorong peluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta PSMB 2001) di mana pengenaan levi diwajibkan kepada semua sektor industri.

Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Susulan daripada itu, ALP tidak berupaya memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara menyeluruh dan ini menjejaskan peranannya sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp,.

Selain itu, PAC berkata, berlaku pelanggaran Akta PSMB 2001, berikutan, tiada wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik sebagai seorang daripada ahli panel pelaburan sejak 2017.

PAC turut memberitahu siasatan ke atas HRD Corp yang dimulakan Oktober tahun lalu turut mengenal pasti beberapa kelemahan lain dalam pengurusan syarikat itu antaranya dari segi tadbir urus, kaedah perolehan dan pembelian hartanah yang mencurigakan atau mendatangkan kerugian.

Katanya, PAC turut mendedahkan kepincangan dari segi pengurusan sumber dana HRD Corp susulan terdapat ‘unutilised levy‘ iaitu sejumlah wang yang tidak digunakan oleh majikan bagi tujuan latihan selepas tempoh dua tahun.

Tempoh itu dilihat terlalu singkat yang mana ia tidak dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menggunakan dana latihan berkenaan.

Syarikat yang mempunyai tenaga kerja rendah, tidak akan dapat menggunakan wang caruman levi kerana tidak mencapai nilai minimum untuk menganjurkan latihan di bawah HRD Corp.

Dalam syornya, Mas Ermieyati berkata, PAC meminta kerajaan terutama Kesuma mengambil langkah sewajarnya ke atas laporan berkenaan termasuk mengkaji semula keperluan untuk HRD Corp dijadikan badan berkanun, sebagai langkah memastikan tadbir urus lebih baik.

“Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp perlu mengkaji semula kaedah pemindahan levi ke tabung ‘unutilised levy‘ untuk memastikan kepentingan PKS dipelihara.

“Antara lain, HRD Corp juga perlu mengambil langkah proaktif mencari alternatif bagi PKS untuk menggunakan wang caruman sebelum dikategorikan sebagai ‘unutilised levy’,” katanya.

Dalam syornya yang lain, PAC meminta Kesuma mengkaji semula dan meminta Akta PSMB 2001 supaya wakil BNM tidak perlu dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan, memandangkan agensi itu berpandangan ia bercanggah dengan peranannya sebagai pengawal selia.

“Pada masa sama, HRD Corp perlu menumpu secara proaktif kepada ‘disbursement of training funds‘ untuk memastikan pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program latihan lebih menyeluruh serta tertumpu dan tidak hanya bersifat generik.

“Syarikat ini juga perlu memastikan setiap aktiviti pelaburannya dipantau panel pelaburan dan Ahli Lembaga Pengarah dengan lebih telus dan teratur dengan kewajipan melaporkan setiap aktiviti pelaburan kepada Lembaga Pengarah seperti termaktub dalam Akta PSMB 2001, dan bukannya hanya kepada Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *