AMMAN/ISTANBUL – Turkiye dilaporkan menutup lintasan sempadan utamanya ke barat laut Syria, semalam susulan kekacauan yang tercetus sejak Ahad lalu.
Polis Turkiye turut menahan 474 individu disyaki terbabit dalam serangan yang menyasarkan komuniti Syria di seluruh negara itu, kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya.
Kekacauan berkenaan antara lain menyaksikan harta benda dan kenderaan milik komuniti Syria dirosakkan serta dibakar di bandar Kayseri.
Ia susulan laporan media sosial mendakwa seorang lelaki Syria melakukan penderaan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang dikatakan mempunyai pertalian kekeluargaan dengannya.
Yerlikaya berkata, insiden terbabit sedang disiasat.
Sementara itu agensi perisikan Turkiye, MIT, dalam satu kenyataan berkata, keganasan dikesan merebak ke wilayah Hatay, Gaziantep, Konya dan Bursa serta sebuah daerah di Istanbul.
Malah, terdapat laporan media sosial mendakwa sebilangan rakyat Syria telah mengalami kecederaan.
Susulan itu, ratusan rakyat Syria yang berang turun ke jalanan di berapa bandar di barat laut Syria yang dikuasai pemberontak – kawasan di mana Turkiye menempatkan ribuan tenteranya.
Bagi menangani keadaan pergolakan berkenaan, Turkiye menutup lintasan sempadan Bab al Hawa yang merupakan laluan utama lebih tiga juta penduduk termasuk untuk tujuan perdagangan, sehingga satu tarikh dimaklumkan kelak.
Selain itu, Turkiye juga menutup lintasan sempadan Bab al Salam dan beberapa lagi lintasan lain yang lebih kecil, kata pegawai sempadan kepada Reuters.
Bandar Afrin di sempadan Syria menyaksikan pertempuran paling ganas yang mana sekurang-kurangnya empat terbunuh apabila penunjuk perasaan bersenjata dilaporkan saling berbalas tembakan dengan tentera Turkiye.
Di beberapa kawasan lain pula, turut dilaporkan kejadian seperti pergaduhan serta pertempuran bersenjata, selain orang awam melemparkan batu ke arah konvoi Turkiye dan merosakkan bendera Turkiye di beberapa pejabat. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252