BERITA UTAMA
Hasut, fitnah, hina pemimpin negara tidak boleh diterima

Hasut, fitnah, hina pemimpin negara tidak boleh diterima

KUALA LUMPUR – Penganjur demonstrasi tidak sepatut membuat ucapan menghasut, memfitnah dan menghina pimpinan negara termasuk terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR Manivanan Gowin.

Beliau berkata tindakan sedemikian tidak boleh diterima kerana ia bukan sahaja merosakkan reputasi individu malah turut mencemarkan suasana harmoni dan demokrasi yang diperjuangkan selama ini.

“Perlu dingatkan bahawa kebebasan bersuara mesti diiringi dengan sikap bertanggungjawab dan penganjur perlu mematuhi semua peruntukan undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012,”katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas demonstrasi dianjurkan pihak tertentu di Putrajaya petang semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata semua pihak juga perlu memastikan perbincangan dan kritikan secara terbuka tidak boleh menyentuh isu-isu sensitif seperti sentimen 3R (kaum, agama dan raja) demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan keamanan negara.

Beliau menegaskan kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Anwar sentiasa berpegang kepada prinsip-prinsip diperjuangkan parti secara khusus Pakatan Harapan (PH) secara am termasuk kebebasan bersuara.

“Kerajaan MADANI komited mendengar pandangan rakyat dan sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina kerana setiap pandangan yang disuarakan dengan adil dan beretika boleh menyumbang kepada proses pembangunan negara,” katanya.

Perhimpunan di parkir awam di luar Kompleks Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya semalam tidak mendapat permit berhimpun seperti ditetapkan mengikut Akta Perhimpunan Aman (Akta 736) kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tanah iaitu Perbadanan Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata 12 individu termasuk penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *