BERITA UTAMA
Gambar kecederaan Zayn Rayyan tersebar

Gambar kecederaan Zayn Rayyan tersebar

KUALA LUMPUR – Gambar mayat seorang kanak-kanak didakwa sebagai Zayn Rayyan ketika proses bedah siasat bagi membantu siasatan, dikesan disebar menerusi aplikasi media sosial.

Dua gambar berkenaan dimuat naik di aplikasi telefon pintar sejak malam tadi.

Kedua-dua gambar berkenaan memaparkan keadaan kanak-kanak berkenaan selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Sebelum ini, tular kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan di aplikasi sama.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan penularan kertas siasatan terbabit.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata sekiranya ia kertas siasatan yang benar, pihak yang menyebarkannya perlu diambil tindakan berikutan kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah.

“Tindakan pihak-pihak tertentu memasukkan perkara seperti ini (kertas siasatan) dalam Telegram umpamanya, tidak diketahui sama ada maklumat itu (kertas siasatan) betul atau tidak, sama ada direka atau dibuat-buat,” katanya.

Sebelum ini, ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang berusia 29 tahun dilaporkan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman di Damansara Damai, Sungai Buloh selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu kemudiannya ditahan pada 31 Mei lalu di Puncak Alam, Selangor dan direman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *