BERITA UTAMA
Bersatu kekal tanding PRK DUN Nenggiri - Muhyiddin

Bersatu kekal tanding PRK DUN Nenggiri – Muhyiddin

NIBONG TEBAL – Bersatu akan menghantar calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu telah dibuat sebelum ini memandangkan Nenggiri adalah kerusi milik parti berkenaan.

“Kita dah mula menggerakkan jentera bagi peringkat awal dan kerja-kerja lain akan menyusul termasuk mengenal pasti calon paling sesuai yang akan kita letakkan daripada Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas program minum petang bersama masyarakat di kawasan Taman Puteri Gunong, Simpang Ampat di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Mengulas mengenai bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengulangi pendirian bahawa beliau sudah ‘pencen’ daripada politik, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, parti menghormati keputusan itu.

Mustapa dalam kenyataan hari ini berkata, beliau telah meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam Bersatu pada 30 Sept 2023 serta kekal dengan keputusannya untuk bersara daripada politik setelah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *