BERITA UTAMA
MCW dakwa pengusaha stesen minyak dalang penyeludupan diesel

MCW dakwa pengusaha stesen minyak dalang penyeludupan diesel

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendakwa kes penyeludupan diesel bersubsidi berpunca daripada keterlibatan sebahagian pengusaha stesen minyak di sempadan, yang menjual diesel dalam kuantiti tidak munasabah atau berulang kepada penyeludup.

Justeru, MCW menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan kajian terperinci mengenai jumlah diesel yang terjual di stesen minyak di kawasan sempadan negara.

“MCW juga mencadangkan kajian ini melibatkan perbandingan jumlah diesel yang terjual dalam masa tiga bulan sebelum dan seminggu selepas kenaikan harga diesel yang diumumkan baru-baru ini,” menurut kenyataan MCW hari ini.

Kenyataan MCW memaklumkan jika terdapat perbezaan ketara dalam jumlah diesel yang terjual, tindakan tegas harus diambil terhadap stesen minyak yang terlibat, bagi memastikan tiada penyelewengan atau manipulasi yang merugikan pengguna dan negara.

Kenyataan MCW itu merujuk laporan media yang menyatakan bahawa beberapa stesen minyak di kawasan sempadan menunjukkan suasana lengang selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

“Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tingkah laku pembelian diesel oleh pengguna terutamanya di kawasan sempadan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *