Perancis rasai ketiadaan Mbappe

Perancis rasai ketiadaan Mbappe

LEIPZIG – Perancis seri 0-0 menentang Belanda tanpa Kylian Mbappe dengan kedua-dua pasukan melangkah lebih dekat ke pusingan 16 terakhir Euro 2024, manakala Ukraine meraih kemenangan penuh emosi ke atas Slovakia.

Mbappe menonton dari bangku simpanan sebagai pemain gantian yang mana rekrut baharu Real Madrid terpaksa memakai topeng dalam latihan minggu ini selepas patah hidung ketika perlawanan sulung Perancis dalam kejohanan itu.

Didier Deschamps menyenaraikan Mbappe dalam skuad, namun memilih untuk tidak meletakkan risiko terhadap penyerang bintang itu bagi menjamin kdimatnya untuk fasa melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

“Sudah tentu Kylian adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Jadi, apabila pemain seperti itu tidak berada di atas padang, ia menjadi satu kerugian buat kami.

“Namun pemain lain beraksi dengan baik. Kami berharap dia akan kembali secepat mungkin,” kata pemain tengah Perancis, Aurelien Tchouameni.

Pemain tengah Belanda, Xavi Simons menjaringkan satu gol kontroversi pada separuh masa kedua apabila ia dibatalkan, manakala Antoine Griezmann yang mengetuai Perancis ketika ketiadaan Mbappe mensia-siakan dua peluang terbaik pasukannya untuk menghasilkan jaringan.

“Saya memiliki dua peluang, namun tidak dapat menjaringkan gol dan ia memalukan,” kata Griezmann.

“Kami perlu berusaha (untuk menjaringkan gol). Saya fikir dari segi pertahanan kami OK, aspek taktikal kami tiada masalah dan kami hanya terlepas untuk menjaringkan gol.”

Poland yang tewas 3-1 kepada Austria di Berlin menjadi pasukan pertama tersingkir susulan keputusan seri antara Perancis dan Belanda dalam perlawanan Kumpulan D. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *