LEIPZIG – Perancis tidak berjaya menjaringkan gol menentang Belanda untuk memperoleh kemenangan yang boleh menjamin kedudukan teratas dalam Kumpulan D saingan Euro 2024.
Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui mahu pasukannya menghasilkan jaringan, namun tetap gembira dengan prestasi skuad Les Bleus yang mencipta banyak peluang dalam perlawanan itu.
Keputusan seri tanpa jaringan menentang Belanda menyaksikan saingan dalam kumpulan itu terbuka luas kerana belum ada pasukan yang mara ke pusingan 16 terakhir.
“Mereka (pemain) beraksi lebih baik daripada yang saya bayangkan, tetapi hanya yang mengecewakan kami adalah kami tidak cukup cekap,” kata Deschamps kepada pemberita.
“Kami melakukan banyak perkara tetapi malangnya kami tidak berjaya mencari gol. Jika kami tidak menemui jaringan, kami tidak akan meraih tiga mata.
“Sekali lagi, permainan berintensiti tinggi dan kami mahu mengulangi prestasi sebelum ini (kemenangan 1-0 ke atas Austria) walaupun pada hakikatnya kami tidak mempunyai banyak (masa) pemulihan.
“Jadi, saya gembira dengan apa yang dilakukan pemain kali ini walaupun kami tidak mencapai apa yang saya mahukan.”
Perancis beraksi tanpa penyerang, Kylian Mbappe yang berada di bangku simpanan dengan dia mengalami kecederaan patah hidung ketika menentang Austria.
Namun, Deschamps tidak menyesal dengan keputusannya tidak menurunkan Mbappe dalam perlawanan menentang Belanda walaupun pasukannya gagal meraih kemenangan.
“Dia melakukan tugas dengan baik setiap hari, dia bertambah baik dan jika ia perlawanan penentuan malam ini, saya mungkin berfikir dua kali sama ada untuk menurunkannya atau tidak,” katanya.
“Namun, penting bagi saya untuk memikirkan keadaannya. Dia menerima nasib kurang baik dan dia perlu memakai topeng. Ia mungkin menjejaskan penglihatannya juga, tetapi itu risiko yang dia perlu ambil.” – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252