Jerman mahu jadi juara kumpulan

Jerman mahu jadi juara kumpulan

BERLIN – Jerman memburu kemenangan ketiga berturut-turut apabila turun menentang Switzerland, awal pagi Isnin ini bagi muncul juara Kumpulan A dan mendapat lawan yang lebih mudah pada pusingan 16 terbaik Euro 2024.

Dua kemenangan awal yang dilakar sebelum ini membolehkan Jerman menikmati permulaan yang lebih baik berbanding di Piala Dunia 2014, menyaksikan kali terakhir mereka muncul juara dalam kejohanan utama.

Jerman perlu sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan Switzerland yang masih belum mengesahkan tiket ke pusingan seterusnya bagi mengelak daripada mengakhiri peringkat kumpulan di kedudukan kedua dan perlu bermain menentang pasukan kedua terbaik Kumpulan B.

Ia boleh membawa kepada perlawanan pusingan 16 yang sukar menentang pasukan dari kumpulan yang terdiri daripada Itali, Sepanyol, Croatia dan Albania

Jika menjadi juara kumpulan, skuad bimbingan Julian Nagelsmann dijangka mendapat laluan lebih mudah menentang pasukan kedua terbaik Kumpulan C.

England berada di kedudukan teratas kumpulan itu dengan empat mata manakala Denmark dan Slovenia berkongsi dua mata dan Serbia satu mata.

“Muncul juara kumpulan adalah penting. Kami mahu memenangi semua perlawanan kami,” kata Nagelsmann selepas anak buahnya menewaskan Hungary 2-0 dalam aksi kedua kumpulan.

Nagelsmann yang mengambil alih pasukan pada September tahun lalu menjadi watak penting kebangkitan semula dipamerkan juara Eropah tiga kali itu dan selepas mengekalkan barisan pemain yang sama dalam dua perlawanan pertama, dia tidak mungkin membuat perubahan besar.

“”Saya rasa penting untuk mempunyai seberapa ramai pemain daripada kesebelasan utama di atas padang supaya kita mampu mengekalkan rentak permainan,” katanya.

“Jangan letak harapan akan ada tujuh perubahan dalam pasukan. Saya boleh menafikannya sekarang.”

Anak buah Nagelsmann membuka tirai kempen Euro 2024 dengan penuh meyakinkan apabila membelasah Scotland 5-1 dan kemenangan ke atas Hungary adalah yang pertama dicatat mereka dalam perlawanan kompetitif sejak 70 tahun lalu.

Nagelsmann hampir pasti mengekalkan trio jentera tengahnya yang terdiri daripada kapten, Ilkay Gundogan yang diapit oleh Jamal Musiala dan Florian Wirtz yang menjadi tonggak utama kepada dua kemenangan awal mereka.

Jurulatih itu mungkin membuat di bahagian pertahanan dengan Pascal Gross berkemungkinan menggantikan Robert Andrich.

Nagelsmann mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah Switzerland yang seri 1-1 menentang Scotland awal minggu ini selepas merakam kemenangan mereka ke atas Hungary dalam perlawanan pertama.

Switzerland akan muncul juara kumpulan jika menewaskan Jerman tetapi tetap akan mara dengan keputusan seri jika Scotland gagal mengatasi Hungary. – REUTERS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *