Duta Online KPKT – Penjelasan Kor Ming masih rentak tenggo pembangkang – Putra

KUALA LUMPUR – Maklum balas dan pencerahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang bercadang menubuh 200 Duta Online KPKT sungguh mengecewakan.

Para duta tersebut yang akan dilantik dari kalangn penjawat KPKT akan bekerja di luar waktu kerja pejabat, di luar tugas hakiki dan tidak berbayar, maka sahlah mereka akan menjadi umpama cybertrooper tidak rasmi kerajaan.

Naib Presiden Putra, Datuk Asmawar Samat berkata, andainya mereka bertugas, apakah menjadi kesalahan jika disanggah dan disergah oleh parti politik yang beranggapan duta ini adalah pihak lawan?

“Pihak yang melawan biasanya bukan suka-suka mahu melalak atau membantah, tetapi beranggapan maklumat dan penjelasan yang akan diberikan tidak sahih serta tidak berkredibiliti.

“Situasi sekarang sudah umpama menjadi cacing kepanasan yang melenting-lenting dicuaca panas di padang gersang. Akibat terbawa-bawa cara semasa menjadi pembangkang dahulu, makanya buat kerja sekarang ini pun main ‘pukul muat’ sahaja.

“Kerja ‘pukul muat’ ini biasanya tiada kertas kajian, persetujuan libat urus jabatan dan agensi, apa lagi Jabatan Perkhidmatan Awam dan pihak Perbendaharaan. Maka dengan itu mereka akan bergerak tanpa ‘punca kuasa’ untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, telus, berintegriti dan kebolehpercayaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Asmawar berkata, persoalannya, munasabahkah kerja penting menjadi Duta Online seumpama itu dilakukan di luar waktu tugas rasmi dengan tanpa bayaran?

Katanya, jika pencerahan Kor Ming boleh dianggap tidak munasabah, sahlah ianya sinonim dengan tujuan untuk memperkukuh kedudukan atau pengaruh parti gabungan PH yang memerintah dengan mengambil kesempatan menggunakan jentera kerajaan.

“Sepatutnya, KPKT memperkasa Unit Media dan Komunikasi sedia ada, bukan mengabaikan atau merendahkan kebolehan serta kemampuan mereka ke tahap kedua.

“Pihak unit media itu perlu mengeluarkan penjelasan rasmi yang telah diteliti oleh agensi BERNAMA seperti SOP sekarang, bukan mengeluarkan kenyataan yang dianggap bersifat menafikan atau mahu menyerang pihak yang bertanyakan sesuatu kerana mahukan pencerahan isu itu.

“Selain itu, pihak KPKT perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan agar dapat dibentuk Ombudsman Penguatkuasaan di kementerian itu,” katanya.

Beliau berkata, dalam hal itu, kewujudan Ombudsman Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ombudsman Perkhidmatan Kewangan Malaysia perlu diteliti serta dicontohi.

Katanya, maksud ombudsman adalah pegawai yang ditugaskan mewakili kepentingan umum dengan menyiasat dan menghadapi aduan salah tadbir atau pelanggaran hak-hak seseorang. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *