BERITA UTAMA
Jual petrol RON95 kepada warga asing, pengusaha stesen minyak berdepan denda RM1j

Jual petrol RON95 kepada warga asing, pengusaha stesen minyak berdepan denda RM1j

ALOR GAJAH – Sebuah stesen minyak di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas pengusahanya dipercayai menjual minyak petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing, lapor Berita Harian.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial pada 16 Jun lalu yang mencetus pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen.

Beliau berkata, video tular itu memperlihatkan seorang individu yang menaiki kenderaan bernombor pendaftaran dipercayai dari negara jiran mengisi petrol bersubsidi.

“Susulan itu sepasukan penguat kuasa KPDN ke stesen berkenaan hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut dan hasilnya kita mengesyaki terdapat satu kesalahan dibuat oleh pengusaha premis itu.

“Kesalahan disyaki berlaku pada jam 4.35 petang Ahad lalu dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi ‘outdoor payment terminal’ (OTP) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norena berkata, perbuatan itu melanggar Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1).

“Kesalahan ini boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang mana jika didapati bersalah pengusaha stesen minyak berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan kes dibuat selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang membabitkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *