BERITA UTAMA

Bersatu Kelantan sudah jangka kerusi DUN Nenggiri kosong

KOTA BHARU – Parti Bersatu Kelantan sudah menjangka berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kata Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Noor.

Kata beliau, kekosongan itu disebabkan ahlinya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, Mohd Azizi Abu Naim sudah kehilangan keahlian berikutan tindakannya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, keputusan yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pagi tadi menunjukkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi berkenaan.

“Kita memang jangkakan perkara ini berlaku selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti yang berkuatkuasa 1 April lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurut Kamaruddin, sebelum ini pimpinan atasan parti sudah menghantar notis dan pemakluman kepada Mohd Azizi mengikut peraturan sewajarnya.

Berkenaan dakwaan Mohd Azizi yang mahu mengambil tindakan undang-undang, Kamaruddin memberitahu, perkara itu merupakan hak beliau.

“Itu memang hak beliau untuk mengambil tindakan, tetapi tidak akan menghalang proses seterusnya kerana parti sudah mengikut peraturan,” katanya.

Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada ADUN Nenggiri, Mohd Azizi pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.

Menurut beliau, notis itu memaklumkan mengenai hilang keahlian Bersatu menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *