SEOUL – Presiden Russia, Vladimir Putin, berjanji untuk mewujudkan sistem perdagangan dan keselamatan dengan Korea Utara tanpa kongkongan Barat.
Perkara itu dinyatakan menerusi surat yang dicetak di Rodong Sinmun, iaitu media rasmi Parti Pekerja yang memerintah Korea Utara, selain diterbitkan media rasmi Korea Utara hari ini.
Putin turut menyatakan sokongan padu menjelang lawatannya ke negara itu, selain menjelaskan kedua-dua negara sudah membangunkan hubungan dan kerjasama yang baik selama 70 tahun berdasarkan kesaksamaan, saling menghormati dan mempercayai.
Beliau antara lain menghargai sokongan Korea Utara menyokong operasi ketenteraan khas di Ukraine, selain menyokong usaha Pyongyang mempertahankan kepentingannya walaupun berdepan ‘tekanan, pemerasan dan ancaman ketenteraan Amerika Syarikat (AS)’.
“Kami akan bangunkan mekanisme alternatif perdagangan dan penyelesaian bersama yang tidak dikawal Barat serta bersama-sama menentang sekatan sebelah pihak yang tidak sah, selain membina sistem keselamatan setara lagi utuh di Eurasia,” katanya.
Surat itu diterbitkan sehari selepas kedua-dua negara mengumumkan kunjungan pertama Putin ke Korea Utara selama dua hari bermula hari ini, dalam tempoh 24 tahun.
Delegasi Russia turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Alexander Novak; Menteri Pertahanan, Andrei Belousov; Menteri Luar, Sergei Lavrov dan Menteri Sumber Asli, Kesihatan dan Pengangkutan selain ketua agensi angkasa dan kereta api.
Sementara itu, Penasihat Dasar Luar Putin, Yuri Ushakov, berkata Russia dan Korea Utara dijangka menandatangani perjanjian kerjasama merangkumi isu keselamatan ketika lawatan berkenaan.
Perjanjian itu, katanya, tidak akan membabitkan mana-mana negara lain, sebaliknya ‘menggariskan prospek kerjasama lanjut dengan mengambil kira perkembangan politik antarabangsa, ekonomi dan isu keselamatan kedua-dua negara sejak beberapa tahun lalu’.
Sempena, lawatan Putin, imej satelit menunjukkan Korea Utara membuat persiapan untuk mengadakan perarakan tentera di pusat bandar Pyongyang.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller mengulangi tuduhan pada hari Isnin bahawa Korea Utara telah membekalkan ‘berpuluh-puluh peluru berpandu balistik dan lebih 11,000 kontena peluru ke Rusia’ untuk digunakan di Ukraine.
Beliau berkata, AS melihat Putin ‘sangat terdesak sejak beberapa bulan lalu’ dan meminta Iran serta Korea Utara untuk menggantikan peralatan yang hilang di medan perang tetapi Moscow dan Pyongyang menafikan pemindahan senjata. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252