BERITA UTAMA
Harga barang binaan naik

Harga barang binaan naik

SHAH ALAM – Harga barangan bagi sektor pembinaan meningkat hampir 30 peratus susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, peningkatan tersebut boleh dikatakan sebagai tertinggi dalam sejarah, malah pihak pembekal turut menetapkan harga baharu bagi barangan pembinaan sejak Isnin lalu.

“Pembekal juga mengugut tidak akan menghantar bekalan sekiranya cadangan harga baharu tidak diikuti.

“Kami merayu agensi kerajaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pantau segera pembekal yang ambil kesempatan atas kenaikan diesel itu,” katanya dipetik Sinar Harian.

Kata Azman, golongan kontraktor G1 hingga G7 antara kumpulan paling terkesan akibat situasi peningkatan harga barangan tersebut.

Menurutnya, kos pembinaan pasti akan meningkat dan dikhuatiri beberapa projek juga bakal lewat siap sekali gus menyebabkan kontraktor mengalami kerugian besar.

“Selain itu, berlaku juga kenaikan sewaan perkakasan mesin seperti jentera berat, jentera eskavator, jengkaut dan penurap, bagi projek infrastruktur.

“Harga bahan mentah iaitu campuran siap konkrit dan bahan- bahan binaan untuk kerja bangunan dan jalan turut meningkat sebanyak 30 peratus,” ujarnya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *