BERITA UTAMA
ASN 2023: Mike Mahen, Natasha rangkul Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan

ASN 2023: Mike Mahen, Natasha rangkul Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 malam tadi.

Mohd Syarul atau lebih dikenali ‘Mike Mahen’ menafikan saingan Muhamad Rafiq Ismail (tenpin boling) serta tiga pemenang emas Sukan Asia Hangzhou 2022 iaitu Ng Eain Yow (skuasy), Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian) dan Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (karate).

Bekas atlet berusia 51 tahun yang mengumumkan persaraan Mac lalu itu bergelar juara dunia dan juara Asia buat kali keenam tahun lepas, selain pernah menghadiahkan pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Hanoi.

Kejayaan atlet tenpin boling negara, Natasha Mohamed Roslan menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia dengan memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait Oktober lepas pula melayakkannya untuk dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Natasha mengatasi cabaran empat pencabarnya iaitu bintang skuasy negara, S. Sivasangari, Nur Amisha Azrilrizal (muay thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Hadiah berupa trofi kepada Mohd Syarul dan Natasha disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Mohd Syarul adalah atlet ketiga dari sukan bina badan memenangi Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Abdul Malek Noor (1986) dan Sazali Samad (2000, 2006, 2013 dan 2014), manakala Natasha pula muncul atlet pertama dari tenpin boling meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan selepas legenda Shalin Zulkifli kali terakhir meraihnya pada 2002.

Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang memecah rekod dunia miliknya dalam acara 72 kilogram dengan angkatan 231kg pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai, dinamakan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.

Juara bertahan Sukan Paralimpik itu menewaskan tiga atlet olahraga para negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi serta Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (para renang).

Pencapaian membawa pulang emas ujian masa wanita B 1 kilometer (km) pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 membuahkan hasil buat pelumba berbasikal trek para negara Nur Suraiya Muhammad Zamri bersama jurumudi Farina Shawati Mohd Adnan apabila dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Nur Suraiya dan Farina Shawati menumpaskan Noor Askuzaimey Mat Salim dan Angeline Melissa Lawas daripada sukan boccia serta Jariah Zakaria (para boling padang).

Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan pula menjadi milik gandingan tenpin boling Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek-Ahmad Muaz Mohd Fisol yang meraih gangsa pada Kejohanan Dunia 2023 manakala Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi selepas menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia menerusi acara pairs pada Kejohanan Boling Padang Wanita Dunia 2023 di Gold Coast, Australia dianugerahkan Pasukan Wanita Kebangsaan.

Majlis turut menghargai jasa pengasas Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Datuk Dr P S Nathan yang membawa sukan itu ke tahap tertinggi pada era 90-an dan memilihnya sebagai Tokoh Sukan.

Kepimpinan dinamik Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus yang pernah menjawat presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia selama 14 tahun turut diraikan pada majlis kali ini yang menyaksikan bekas Timbalan Menteri Penerangan itu merangkul anugerah Kepimpinan Sukan.

Anugerah berprestij yang mula diperkenalkan sejak 1966 itu ialah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Berikut ialah senarai penuh penerima pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023:

Olahragawan Kebangsaan – Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan)

Olahragawati Kebangsaan – Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan – Nur Suraiya Muhamad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) (berbasikal para)

Pasukan Lelaki Kebangsaan – Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek-Ahmad Muaz Mohd Fisol (tenpin boling)

Pasukan Wanita Kebangsaan – Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi (boling padang)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan – Zuraidi Puteh (boling padang)

Jurulatih Wanita Kebangsaan – Chai De Choo@Wendy Chai (tenpin boling)

Anugerah Tokoh Sukan – Datuk Dr P S Nathan

Anugerah Kepimpinan Sukan – Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus

Anugerah Khas – Qabil Irfan Azlan (permotoran) dan Special Olympics Malaysia – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *