Saudara Pengarang.
Saya seorang pemegang saham Bank Rakyat yang hadir Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat yang berlangsung baru-baru ini. Saya juga adalah mantan akauntan di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya dan sebelum ini aktif dalam pelbagai persatuan dan pertubuhan.
Saya ingin menzahirkan kegusaran saya mengenai pengendalian mesyuarat yang dibuat secara semberono, tidak profesional dan mengelirukan anggota seperti saya.
Umum mengetahui bahawa Yayasan Bank Rakyat ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan seperti pembiayaan pendidikan dan sumbangan.
Kelazimannya setiap badan korporat yang menubuhkan yayasan akan menikmati pengecualian cukai ke atas setiap sumbangan yang diberikan.
Walaubagaimanapun, saya merasa sedikit aneh apabila pihak tertinggi Bank Rakyat, mencadangkan agar Bank Rakyat membayar cukai kepada LHDN bagi memastikan anggota boleh menerima manfaat dari Yayasan Bank Rakyat.
Ini merupakan fakta yang sama sekali tidak tepat. Selaku anggota, anak saya sendiri merupakan penerima pinjaman pendidikan Yayasan Bank Rakyat. Alhamdulillah setelah mendapat keputusan cemerlang, pinjaman tersebut ditukar menjadi biasiswa.
Malah, anak saya juga diraikan dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Anggota dua tahun lepas. Maklumat yang diberikan oleh pihak tertinggi Bank Rakyat adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Tambahan pula, pihak tertinggi itu gagal menjelaskan secara terperinci apakah implikasi kewangan (jumlah cukai yang perlu dibayar) seandainya Yayasan Bank Rakyat tidak mendapat kelulusan LHDN di bawah Subseksyen 44(6).
Sebagai seorang akauntan, sifir mudah saya (jika cadangan pihak tertinggi Bank Rakyat yang kurang bijak dan mengelirukan ini, dijalankan juga) jutaan ringgit perlu dibayar oleh Yayasan dan saya pasti Bank Rakyat sendiri tidak akan dapat pengecualian cukai ke atas sumbangan berjumlah RM30 juta yang dikeluarkannya.
Implikasi ini gagal dinyatakan dengan jelas dan saya fikir ia mencacatkan proses membuat keputusan oleh anggota yang menghadiri mesyuarat.
Lebih melucukan lagi, pihak tertinggi Bank Rakyat yang melontarkan cadangan dan kemudiannya beliau membuat rumusan sendiri. Persetujuan anggota juga tidak dibuat secara undian.
Saya yakin permasalahan utama di sini ialah pihak tertinggi Bank Rakyat ini seorang yang cetek pengalaman dalam mengendalikan mesyuarat. Tambahan pula kali ini beliau dilantik dari kalangan individu yang tidak mempunyai latar belakang perbankan.
Saya, selaku anggota mesyuarat, ingin merayu agar Yang Berhormat Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick mengambil berat perkara ini. Keputusan yang penting serta melibatkan implikasi kewangan berjumlah jutaan ringgit tidak boleh dibuat secara semberono dan tidak profesional.
KUSKOP, Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) perlu mengambil tindakan memastikan sebarang keputusan yang dibuat tidak merugikan Bank Rakyat serta menggagalkan objektif penubuhan Yayasan Bank Rakyat.
Akhir kata, “Jangan menyuruh kapak menyelam beliung”. Inilah natijah kegagalan meletak orang yang layak pada tempatnya. – NasionalDaily
Wan Zaman Hassan, Kuala Krai
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252