BERITA UTAMA
Datuk, nenek Zayn Rayyan dibebaskan pagi ini

Datuk dan nenek Zayn Rayyan dibebaskan dengan jaminan polis

PETALING JAYA – Datuk dan nenek kepada Zayn Rayyan dijangka dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan semalam.

Peguam, Fahmi Abd. Moin berkata, kedua-mereka sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebelum dibebaskan, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret selepas kedua-dua mereka ditahan di Subang Bestari.

“Saya akan membantu kedua-dua mereka berkaitan urusan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Media melaporkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autism akan didakwa di Kompleks Mahkamah di sini.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan, 6, ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang terbabit ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Sejak jam 7 pagi, orang ramai termasuk pengamal media berkumpul di luar Kompleks Mahkamah ini bagi mendapatkan perkembangan terkini kes bunuh kanak-kanak istimewa tersebut. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *