BERITA UTAMA
Penahanan datuk, nenek Zayn Rayyan bantu siasatan ke atas ibu, bapa - Peguam

Penahanan datuk, nenek Zayn Rayyan bantu siasatan ke atas ibu, bapa – Peguam

KUALA LUMPUR – Peguam bapa kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, Fahmi Abdul Moin memberitahu pihak peguam bela dimaklumkan mengenai penahanan datuk dan nenek kanak-kanak itu kira-kira jam 3 petang Rabu.

Menurut Fahmi, beliau mendapat panggilan dari datuk Zayn memberitahu dia dan isteri sedang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.

Fahmi, ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pihaknya akan mengemukakan bantahan terhadap arahan penahanan itu, namun perlu menunggu esok (Khamis) bagi mendapatkan maklumat lanjut selepas keterangan mereka diambil polis.

Jelas Fahmi, buat masa ini, pihaknya hanya diberitahu penahanan itu adalah untuk membantu siasatan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan.

“PDRM akan ambil keterangan daripada datuk dan nenek Zayn Rayyan. Kalau tidak dapat selesai dalam masa 24 jam sehingga esok, mereka akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Tempoh reman hanya akan diketahui esok dan kami akan hadir untuk membantah permohonan reman tersebut,” kata Fahmi.

Menurutnya, bantahan di atas alasan apa tidak dapat dinyatakan kerana tiada penjelasan jelas mengapa penahanan terhadap kedua-dua individu itu dilakukan.

“Esok baharu semua akan diketahui di mahkamah, daripada siasatan polis, kenapa mereka harus ditahan dan dilanjutkan reman. Berdasarkan alasan itu, kami akan membuat bantahan,” kata Fahmi.

Media terdahulu melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan datuk dan nenek Zayn Rayyan ditahan polis di sebuah lokasi berdekatan Subang Bestari, Shah Alam di Selangor.

Penahanan mereka dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah bagi membantu siasatan, dan mereka akan direman esok di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, esok (Khamis).

Nasib ibu bapa Zayn Rayyan yang direman selama 13 hari bagi membantu siasatan kes bunuh anak terbabit akan diketahui esok, sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *