BERITA UTAMA
Joohari bekas guru calon PH PRK DUN Sungai Bakap

Joohari bekas guru calon PH PRK DUN Sungai Bakap

NIBONG TEBAL – Kerajaan perpaduan memilih bekas Pengarah Insitut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Joohari Ariffin, 60, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai calon bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Pengumuman dibuat Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada majlis pengumuman calon Perpaduan di Simpang Ampat, Nibong Tebal malam tadi.

Pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia itu dipilih sebulat suara oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga bekas guru itu dipilih kerana berpengalaman luas dalam bidang latihan kepimpinan dan pengurusan pentadbiran dalam pendidikan.

Selain itu, beliau juga yang berkhidmat sebagai Pengerusi Masjid Seri Empangan Parit Buntar, Perak aktif dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan dikenali sebahagian ibu bapa dan pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar DUN Sungai Bakap.

Turut hadir pada majlis tersebut Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek; dan barisan pimpinan negeri yang lain.

Sebelum ini, PKR menyenaraikan lima nama yang akan dipilih bagi mewakili itu antaranya bekas calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN ) lepas, Nurhidayah Che Rose dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap 2018-2023 merangkap Ketua Cabang PKR Nibong Tebal, Datuk Amar Pritpal Abdullah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *